top of page

Anwar, John Lee kukuh kerjasama M'sia-Hong kong sektor digital, produk halal

Writer: Noraini Nordin
Noraini Nordin
8 hours ago
1 min read

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Ketua Eksekutif Hong Kong, John Lee Ka-chiu bagi memperkukuh hubungan ekonomi serta memperluas kerjasama dalam bidang perdagangan digital, pelaburan dan pasaran modal.


Pertemuan itu berlangsung di sela-sela Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2026 di Shenzhen, China, dengan kedua-dua pihak membincangkan ruang baharu untuk meningkatkan hubungan perdagangan dan ekonomi.


Menerusi perkongsian di media sosial, Anwar berkata Malaysia mengalu-alukan pembukaan Pejabat Ekonomi dan Perdagangan Hong Kong di Kuala Lumpur yang berpotensi menjadi pemudah cara kepada hubungan perniagaan serta membuka akses pasaran lebih luas bagi produk halal Malaysia.


Dalam pertemuan itu, Anwar turut menegaskan sokongan Malaysia terhadap penyertaan Hong Kong dalam Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), yang dijangka membuka ruang lebih luas kepada integrasi perdagangan dan ekonomi serantau.


Beliau turut memaklumkan bahawa John Lee mengulangi jemputan supaya beliau mengadakan lawatan ke Hong Kong bagi meneruskan usaha mempererat hubungan serta kerjasama antara kedua-dua pihak.


Pejabat Ekonomi dan Perdagangan Hong Kong di Kuala Lumpur berperanan mempromosikan hubungan ekonomi, perdagangan dan kebudayaan Hong Kong dengan Malaysia serta beberapa negara lain di rantau ini.


Pejabat berkenaan mula beroperasi pada 10 Disember 2025 dan menjadi antara saluran rasmi untuk memperluas hubungan perniagaan serta peluang pelaburan antara Hong Kong dengan negara serantau.


Pertemuan Anwar dan John Lee mencerminkan usaha Malaysia memperluas jaringan ekonomi antarabangsa, khususnya dalam sektor digital dan kewangan, selain meneroka peluang baharu bagi membawa produk tempatan termasuk produk halal ke pasaran lebih luas.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page