'Jika benar MB Ismail ikut arahan parti, siapa beri arahan?' - Mahfuz


Saya ingin bertanya kepada Presiden Umno (Ahmad Zahid). Jika benar Ismail bertindak mengikut arahan parti, siapakah yang memberikan arahan tersebut?
Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar menggesa Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan peranan kepimpinan parti itu dalam krisis politik Negeri Sembilan susulan dakwaan Datuk Ismail Lasim hanya bertindak mengikut arahan parti.
Mahfuz berkata, dakwaan anak Menteri Besar Negeri Sembilan bahawa bapanya mematuhi segala arahan parti sebelum akhirnya dijadikan seolah-olah kambing hitam, menimbulkan persoalan besar yang tidak boleh dijawab dengan sekadar menafikan penglibatan.
"Saya ingin bertanya kepada Presiden Umno (Ahmad Zahid). Jika benar Ismail bertindak mengikut arahan parti, siapakah yang memberikan arahan tersebut?
"Apakah pendirian sebenar Umno terhadap usaha menurunkan Tuanku Muhriz daripada takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan?
"Ismail bukan pemimpin yang muncul sendiri sebagai Menteri Besar. Beliau merupakan calon yang diangkat oleh kepimpinan Umno.
"Maka, apabila beliau terlibat dalam tindakan yang mempertikaikan kedudukan Tuanku Muhriz, Umno perlu menjelaskan sejauh mana kepimpinan parti mengetahui dan terlibat dalam keputusan politik yang dibuat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, anak Ismail iaitu Naim mempersoalkan tindakan BN mengeluarkan kenyataan media berhubung peletakan jawatan bapanya, sedangkan keputusan berkenaan didakwa masih belum mendapat pengesahan daripada pihak Istana.
Menerusi kenyataan di laman Instagramnya itu, beliau turut mempersoalkan pihak yang mengeluarkan kenyataan mengenai peletakan jawatan tersebut serta sama ada ia dibuat sendiri oleh bapanya, selain meluahkan rasa kecewa kerana bapanya didakwa sudah mematuhi segala arahan parti, namun akhirnya seolah-olah dipersalahkan dalam kemelut politik di negeri Adat Perpatih itu.
Siapa dapat manfaat usaha jatuh Tengku Muhriz
Mengulas lanjut, Mahfuz berkata parti itu perlu menyatakan dengan jelas dan jika ada pemimpin atau pihak tertentu yang terlibat, maka peranan mereka juga perlu dijelaskan.
Beliau menegaskan, rakyat tidak seharusnya dibiarkan terus tertanya-tanya dalam isu berkenaan.
"Lebih penting, Umno selama ini sering meletakkan dirinya sebagai parti yang mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu tetapi dalam krisis Negeri Sembilan, rakyat menyaksikan satu episod yang menimbulkan persoalan serius tentang konsistensi pendirian tersebut.
"Apakah alasan politik untuk mencabar kedudukan Tuanku Muhriz? Siapa yang mendapat manfaat daripada usaha tersebut?
"Mengapa kedudukan seorang Yang di-Pertuan Besar yang masih diiktiraf oleh institusi negeri dipertikaikan melalui tindakan yang kemudian ditarik balik?
"Ini bukan persoalan kecil. Ini soal institusi Raja, Adat dan Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan," katanya lagi.
Terbaharu, Ismail dilihat meneruskan tugasnya seperti biasa apabila memuatnaik gambar menghadiri perjumpaan dengan kakitangan kerajaan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan (SUKNS), hari ini.
Dalam gambar berkenaan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh itu dilihat tersenyum di samping dua kakitangan yang diraikan.
Pada 16 November lalu, Ismail didakwa melepaskan jawatannya sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan menerusi surat peletakan jawatan yang diutuskan kepada Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkuat kuasa pada tarikh tersebut.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, Pengerusi BN yang juga Presiden Umno iaitu Ahmad Zahid telah menerima salinan surat peletakan jawatan itu.
Petang semalam, Tuanku Muhriz berkenan menerima menghadap Ismail susulan kemelut semasa yang melanda negeri berkenaan.
Difahamkan, sesi menghadap itu bermula kira-kira 5 petang dan berakhir pada 6.30 petang, sementara butiran lanjut mengenainya belum dapat dipastikan.




Comments