Tingkat sokongan masyarakat India, Melayu - Amirudin
- Sidiqin Omar

- 49 minutes ago
- 2 min read

KEADILAN perlu berdepan realiti penurunan sokongan dalam kalangan masyarakat India dan Melayu di sesetengah kawasan, susulan perubahan pola pengundian yang ketara berbanding pilihan raya sebelum ini.
Naib Presiden KEADILAN, Datuk Seri Amirudin Shaari, berkata data yang dibentangkan menunjukkan sokongan masyarakat India kepada Pakatan Harapan (PH) yang sebelum ini melebihi 70 peratus kini merosot kepada kurang daripada 45 peratus.
Beliau berkata, keadaan lebih mencabar dalam kalangan pengundi Melayu apabila sokongan terhadap PH dan KEADILAN di sesetengah data yang dibentangkan turut menunjukkan angka rendah.
"Sekarang mungkin kurang daripada 45 peratus (sokongan masyarakat India). Dan kita lihat undi Melayu. Dulu kita dapat pada tahun 2022 sekitar 11 peratus sahaja.
"Dan kali ini ia berkurangan kepada 7.4 peratus," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional KEADILAN.
Amirudin berkata, data pilihanraya di Johor dan Negeri Sembilan itu perlu dilihat sebagai satu bentuk kesedaran kepada parti untuk memahami perubahan sokongan pengundi, bukannya menafikan kelemahan yang berlaku.
Menurut beliau, situasi politik semasa juga berbeza berbanding keadaan pada 2021, 2022 dan 2023, sekali gus memerlukan parti menilai semula pendekatan serta strategi mendekati kelompok pengundi terbabit.
Beliau bagaimanapun berkata, sokongan masyarakat Cina kepada PH dan KEADILAN masih berada pada tahap kukuh walaupun terdapat sedikit penurunan, dengan sekitar 77 peratus memberikan sokongan.
"Data-data ini memberikan satu kesedaran kepada kita," katanya.
Amirudin berkata, KEADILAN sebagai parti pelbagai kaum perlu terus mempertahankan prinsip politik inklusif dan tidak mengabaikan mana-mana kelompok masyarakat dalam usaha memperkukuh sokongan.
Beliau berkata, KEADILAN mempunyai kelebihan tersendiri sebagai parti pelbagai kaum yang berjaya bertahan dalam landskap politik Malaysia yang sejak sekian lama didominasi parti berasaskan kaum.
Katanya, usaha menubuhkan parti pelbagai kaum sebelum ini termasuk Parti Negara dan Gerakan tidak berkembang
menjadi arus perdana, namun KEADILAN berjaya menongkah arus tersebut.
"Parti KEADILAN adalah parti pelbagai kaum yang paling berjaya di Malaysia," katanya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan agenda kerajaan termasuk kebertanggungjawaban, pengagihan yang adil, pembelaan golongan miskin dan ketelusan perlu terus menjadi asas perjuangan parti.
Beliau berkata, cabaran sokongan masyarakat India dan Melayu itu harus mendorong KEADILAN memperbaiki pendekatan politik serta memastikan agenda parti dapat diterjemahkan dengan lebih berkesan kepada semua kelompok masyarakat.




Comments