Tiada barangan disita, semua penerima sumbangan Deepavali DUN Rim terima bantuan


Semua penerima bantuan Deepavali yang dikaitkan dengan dakwaan pelanggaran Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim kekal menerima sumbangan masing-masing dan tiada barangan daripada kotak makanan terbabit dirampas atau disita pihak berkuasa.
Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN Pusat, Siti Aishah Shaik Ismail berkata perkara itu disahkan menerusi rujukannya dengan Pegawai Penyiasat (IO) yang mengendalikan kes berkenaan.
"Rujukan saya dengan Pegawai Penyiasat (IO) yang bertugas bagi isu pelanggaran Akta Pilihan Raya di DUN N.25 Rim mengesahkan bahawa semua individu yang berada dalam senarai penerima bantuan kekal menerima bantuan yang diberikan.
"Ingin saya tegaskan bahawa tidak ada sebarang barangan daripada kotak makanan terbabit yang diambil atau disita oleh pihak berkuasa," katanya dalam kenyataan hari ini.
Siti Aishah yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku sekiranya tiada pelanggaran undang-undang pilihanraya dan mengingatkan semua calon supaya memahami peraturan yang mengikat mereka sepanjang tempoh berkempen.
"Kami juga masih menanti sebarang bentuk pemakluman berkaitan siasatan yang sedang dijalankan.
"Untuk makluman semua, pagi ini kami juga telah menghantar laporan secara rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya Negeri berkaitan isu ini," ujarnya sambil
berharapkan agar siasatan yang telus dan terperinci dapat dijalankan dengan segera.
"Pesanan saya kepada saudari Dira (Datuk Khaidhirah Abu Zahar) jangan menjadikan rakyat sebagai alasan untuk kita melakukan sesuatu yang salah.
"Kita seharusnya lebih memahami peraturan dan akta yang mengikat kita sebagai calon dalam pilihanraya dan inilah yang kita namakan sebagai disiplin."
Sebelum ini Ketua Pengarah Kempen PH DUN Rim Heikarl Edzha Zaini mendakwa calon BN terbabit dalam program penyampaian bantuan kepada kira-kira 30 penerima di premis berkenaan ketika tempoh kempen PRN Melaka.
PH turut mendakwa mempunyai bukti bergambar dan rakaman video yang menunjukkan kotak makanan dibawa keluar dari premis berkenaan serta sampul wang diberikan kepada penerima sebelum laporan polis dibuat pada 2 November lalu.
Bagaimanapun, Dira menafikan laporan berkenaan dengan menyatakan kehadirannya di JAPERUN Rim adalah untuk meninjau proses pengundian pos dan bukannya berkempen menggunakan premis kerajaan.
Beliau turut mendakwa tindakan pihak lawan membuat laporan polis menyukarkan urusan penerima sumbangan atau menyusahkan rakyat yang terpaksa melalui proses tertentu susulan aduan berkenaan.




Comments