Hj Hadi sifatkan CSA sebagai Dajal ekstrem, keterlaluan - Dr Fuziah


Penggunaan istilah ‘Dajal’ bagi menggambarkan Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) disifatkan sebagai keterlaluan kerana perbezaan pendekatan politik tidak seharusnya dikaitkan dengan gambaran keagamaan sedemikian.
Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Dr Fuziah Salleh yang terkejut dengan kenyataan Presiden Pas itu, tampil mempersoalkan kewajaran mengaitkan perbezaan pendekatan politik dengan istilah ‘Dajal’ dalam tulisan terbaharu Ahli Parlimen Marang itu bertajuk ‘Tempis Dajjal Sudah Tiba’.
"Bagi saya, kenyataan sebegini sangat ekstrem dan keterlaluan. Kita sedang membincangkan sebuah mekanisme persefahaman politik, bukannya persoalan akidah atau keimanan seseorang.
"Sejak bila perbezaan pendekatan politik perlu diheret sehingga dikaitkan dengan ‘Dajal’. Abdul Hadi berhujah bahawa kerajaan wajib berlaku adil kepada semua rakyat tanpa mensyaratkan sokongan politik.
"Prinsip keadilan itu tidak dipertikaikan, namun apakah asas untuk mengaitkan sebuah perjanjian politik yang dicapai melalui rundingan dengan sifat-sifat Dajal?
"Adakah perbezaan pandangan terhadap sesuatu dasar sudah cukup untuk menggunakan gambaran keagamaan seberat itu?," soal beliau.
Fuziah berkata, sebagai seorang tokoh agama dan pemimpin politik, setiap ungkapan Abdul Hadi membawa pengaruh besar kepada masyarakat.
Ujarnya lagi, apabila istilah ‘Dajal’ digunakan dalam pertikaian politik, ia berpotensi membentuk persepsi bahawa pihak yang berbeza pendekatan bukan sekadar salah dari sudut politik, tetapi seolah-olah membawa kejahatan dari sudut agama.
"Kritiklah CSA berdasarkan fakta, kandungan dan pelaksanaannya. Jangan sampai kerana perbezaan politik, istilah agama digunakan untuk menggambarkan pihak lain sebagai pembawa kejahatan.
"Politik memerlukan hujah dan kematangan, bukannya retorik keagamaan yang boleh menyuburkan kebencian dan perpecahan," kata Fuziah yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Dalam catatan minda Presiden Pas pada 3 November lalu, Haji Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang antaranya menyifatkan CSA adalah pendekatan 'Dajal' pada akhir zaman yang menjadikan kuasa bukan lagi suatu amanah yang wajib ditunaikan kepada semua, tetapi memaksa untuk terus berkuasa.




Comments