top of page

CSA dulu halal, sekarang 'dajal': Pas guna agama ikut selera politik? - Kamil

Writer: Helmi Mohd Foad
Helmi Mohd Foad
44 minutes ago
2 min read
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim

Pas dipersoalkan berhubung pendiriannya terhadap persefahaman politik yang mempunyai elemen Confidence and Supply Agreement (CSA) susulan Presidennya, Hj Hadi Awang menyifatkan mekanisme berkenaan sebagai pendekatan Dajal.


Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata pendirian Hadi itu bercanggah dengan tindakan Pas ketika menjadi sebahagian daripada kerajaan Persekutuan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 2021.


Beliau berkata, pada 13 September 2021, kerajaan ketika itu memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik bersama Pakatan Harapan (PH) yang turut mengandungi elemen confidence and supply bagi menjamin kestabilan kerajaan serta kelulusan Belanjawan.


"Ketika Pas berada dalam kerajaan, persefahaman sedemikian dianggap perlu demi kestabilan negara. Tidak pula kedengaran istilah Dajal digunakan.


"Tetapi apabila Pas berada di luar kerajaan, mekanisme politik yang serupa tiba-tiba dikaitkan dengan Dajal.


"Apakah ini suatu kaedah baharu dalam politik Pas? Halal bagi kami, haram bagi kamu?" katanya menerusi hantaran di Facebook.


Hadi menerusi tulisan Minda Presiden Pas bertajuk 'Tempias Dajjal Sudah Tiba' pada 3 November yang mengaitkan CSA dengan pendekatan Dajal pada akhir zaman.


Ahli Parlimen Marang itu mendakwa mekanisme berkenaan menjadikan kuasa bukan lagi suatu amanah yang wajib ditunaikan kepada semua rakyat sebaliknya sebagai alat untuk memaksa pihak tertentu terus berkuasa.


Hadi turut berpandangan mana-mana parti yang membentuk kerajaan wajib menunaikan tanggungjawab kepada rakyat tanpa perlu membuat aku janji atau perjanjian terlebih dahulu termasuk dalam soal pengagihan hasil negara dan kutipan cukai.


Kenyataan itu dibuat susulan pemeteraian CSA antara kerajaan dengan 13 Ahli Parlimen pada 29 Oktober lalu membabitkan wakil rakyat Bersatu dan Bebas.


Melalui persefahaman itu, mereka bersetuju memberikan sokongan terhadap kerajaan termasuk dalam kelulusan Belanjawan 2027 dengan komitmen kerajaan menyediakan peruntukan pembangunan kawasan secara setara.


Mengulas lanjut, Kamil yang juga Setiausaha Politik Menteri Kewangan berkata perbezaan pandangan mengenai CSA merupakan perkara yang boleh dibahaskan termasuk dari segi syarat dan pelaksanaannya.


Bagaimanapun, beliau mengingatkan supaya istilah agama tidak digunakan untuk menghukum sesuatu mekanisme politik yang pernah diterima ketika parti berkenaan berada dalam kerajaan.


"Kita boleh berbeza pandangan tentang CSA malah boleh mempertikaikan syarat dan pelaksanaannya. Tetapi janganlah sampai istilah agama digunakan untuk menghukum sesuatu yang dahulunya diterima ketika berada dalam kerajaan.


"Yang berubah ialah kedudukan politik. Jangan sampai neraca halal dan haram pun turut berubah mengikut kedudukan kerusi.


"Agama mengajar kita berlaku adil dan berpegang pada prinsip, bukan menyediakan dua ukuran berbeza mengikut siapa yang sedang berkuasa," katanya.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page