Jambatan baharu RM20 juta di Kubu Gajah, ganti jambatan roboh - MB


Kerajaan Negeri Selangor meluluskan peruntukan kira-kira RM20 juta bagi pembinaan jambatan baharu di Jalan Kubu Gajah, Sungai Subang, Paya Jaras yang runtuh susulan hujan lebat awal pagi semalam.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata projek berkenaan dijangka bermula awal tahun hadapan sebagai penyelesaian jangka panjang bagi memulihkan laluan serta memastikan kelancaran aliran Sungai Subang.
"Sebagai langkah sementara, Kerajaan Negeri bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) akan membina jambatan sementara jenis Bailey dalam tempoh dua hingga tiga minggu bagi membolehkan pergerakan penduduk kembali pulih.
"Beberapa laluan alternatif turut disediakan bagi memudahkan pergerakan penduduk sepanjang tempoh penutupan," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Terdahulu Amirudin meninjau lokasi jambatan runtuh itu di Jalan Kubu Gajah, Sungai Subang dalam DUN Paya Jaras susulan hujan lebat semalam.

Jambatan ini dilaporkan runtuh kira-kira pukul 2 pagi dan terpaksa ditutup demi keselamatan penduduk.
Limpahan air Sungai Subang turut menjejaskan lebih 1,000 kediaman berhampiran.
"Saya memahami keresahan penduduk yang berdepan kerosakan harta benda, gangguan pergerakan harian dan kebimbangan terhadap keselamatan keluarga.
"Dalam keadaan ini, bantuan serta tindakan pemulihan perlu disegerakan bagi meringankan beban mereka," ujarnya.
Amirudin menjelaskan projek tebatan banjir telah dilaksanakan di kawasan itu namun keadaan jambatan sedia ada turut menjadi antara faktor yang menghalang kelancaran aliran air.
"Masalah ini perlu ditangani secara menyeluruh demi keselamatan penduduk," jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Amirudin turut melawat pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Seri Pagi Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Paya Jaras Hilir yang menempatkan 93 mangsa daripada 23 keluarga setakat pukul 11 pagi.
Amirudin berkata kerajaan negeri akan terus memberi perhatian terhadap kebajikan penduduk terjejas dengan memastikan bantuan disalurkan dan usaha pemulihan dilaksanakan segera serta teratur.
"Keselamatan penduduk mesti diutamakan, bantuan perlu sampai dan usaha pemulihan mesti dilaksanakan dengan segera serta teratur," katanya.



Comments