top of page

DUN Ayer Molek: Hakimin seru parti tak bertanding sokong PH

Writer: Sidiqin Omar
Sidiqin Omar
1 hour ago
2 min read
Hakimin Mokhtar (berbaju hitam) bersalam bersama jemaah masjid ketika solat dalam kempen rumah ke rumah
Hakimin Mokhtar (berbaju hitam) bersalam bersama jemaah masjid ketika solat dalam kempen rumah ke rumah

Calon Pakatan Harapan DUN Ayer Molek, Hakimin Mokhtar menyeru ahli, penyokong parti-parti politik yang tidak bertanding di DUN itu agar menyokong Pakatan Harapan.


Seruan itu turut ditujukan kepada penyokong parti-parti lain yang tidak menyokong Barisan Nasional (BN) mahupun Perikatan Nasional (PN), memandangkan pertandingan di Ayer Molek menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara PH dan BN.


Menurutnya, Ayer Molek selama ini belum pernah dimenangi parti selain BN, dan katanya sudah tiba masa pengundi memberi peluang kepada calon daripada parti lain untuk membawa pendekatan dan pembaharuan.


"Kepada parti-parti yang tak bertanding dan tak nak sokong PN dan juga BN, bagilah saya peluang di sini untuk menampilkan benda yang baru dan segar.


"Di sini pun tak pernah parti lain memerintah, tak pernah selain daripada Barisan Nasional menang di sini," katanya ketika ditemui Suara Keadilan selepas sesi kempen PRN Melaka.


Hakimin yang juga Ketua Angkatan Muda KEADILAN Melaka berkata, para pengundi perlu melihat keperluan untuk membuka ruang kepada pilihan politik berbeza, dan pengundi perlu menilai semula sokongan mereka berdasarkan keperluan dan masa depan kawasan berkenaan.


"Mereka terlalu terlampau selesa di sini dan mereka pun rasa mereka tak payah buat kerja pun mereka boleh menang.


"Jadi, beri peluang kepada Pakatan Harapanb di sini. Insya-Allah, saya akan buat yang terbaik untuk warga Ayer Molek," katanya.


Dalam perkembangan sama, Hakimin berkata penggunaan retorik penyatuan Melayu dan ummah dalam persaingan politik, tidak dapat diterjemahkan kepada kestabilan pentadbiran dan pelaksanaan janji kepada rakyat.


BN-PN hanya tabur janji


Beliau merujuk beberapa perkembangan politik di negeri lain termasuk isu pentadbiran di Negeri Sembilan serta janji berkaitan gaji RM4,000 di Johor yang masih belum menunjukkan perkembangan diharapkan.


"Kalau kita lihat, BN ataupun bersama dengan Pas ini, mereka sering kali mengatakan kita di Pakatan Harapan ini macam-macam, tetapi sebenarnya selepas beberapa siri pilihan raya negeri, nampaknya macam mereka yang lebih bermasalah," katanya.


Menyentuh isu di Johor, beliau berkata, janji berkaitan gaji RM4,000 yang dibangkitkan sebelum ini perlu dinilai berdasarkan perkembangan pelaksanaannya.


"Contoh di negeri Johor, cakap mengenai gaji RM4,000 yang dia tawarkan. Tapi sampai sekarang mereka membisu.


"Di Negeri Sembilan, macam-macam isu berlaku. Sampai sekarang masih belum selesai. Jadi, kita boleh lihat sendiri bagaimana keadaan politik dan pentadbiran di negeri berkenaan.


"Pengundi jangan hanya menilai parti berdasarkan slogan atau sentimen politik, sebaliknya beri perhatian kepada tanggungjawab serta hasil yang mampu dibawa kepada masyarakat," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page