Projek tebatan banjir Melaka: Peruntukan RM1.46 bilion diluluskan Kerajaan MADANI



Kerajaan MADANI terus memberi perhatian terhadap usaha mengurangkan risiko banjir di Melaka menerusi kelulusan peruntukan keseluruhan RM1.46 bilion bagi pelaksanaan lapan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) untuk tempoh 2021 hingga 2026.
Peruntukan menerusi Kerajaan Persekutuan dan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) itu bertujuan memperkukuh infrastruktur saliran, mengawal aliran sungai serta meningkatkan perlindungan penduduk di kawasan berisiko banjir.
Daripada lapan projek berkenaan, enam sedang dalam pelaksanaan, manakala dua lagi berada pada peringkat prapelaksanaan dan reka bentuk.
Enam projek yang sedang dilaksanakan merangkumi RTB Alor Gajah Fasa 1, RTB Bandar Jasin, RTB Bandar Merlimau, RTB Sungai Putat, RTB Sungai Duyong serta penaiktarafan Kolam Tebatan Banjir Krubong-Durian Tunggal sebagai kemudahan dwifungsi untuk tebatan banjir dan sumber bekalan air negeri.
Sementara itu, dua projek yang masih dalam peringkat reka bentuk ialah RTB Sungai Melaka Fasa 1 dan RTB Sungai Baru di Alor Gajah.
Menurut Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Melaka, lima daripada enam projek yang sedang dilaksanakan dijangka siap pada suku keempat 2027, manakala satu lagi disasarkan selesai pada 2030.
Projek RTB Sungai Rambai
Dalam perkembangan berkaitan, komitmen kerajaan menangani masalah banjir di Melaka turut diteruskan menerusi pengumuman Projek Pemulihan Sungai dan Rancangan Tebatan Banjir Sungai Rambai, daerah Jasin, dalam Belanjawan 2027.

Projek yang dianggarkan menelan kos hampir RM300 juta itu bertujuan mengurangkan risiko banjir berulang di kawasan Sungai Rambai, termasuk menangani masalah limpahan air sungai ketika hujan lebat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 menyatakan komitmen kerajaan untuk mengurangkan risiko banjir menerusi pelaksanaan projek berkenaan.
Dua RTB diberi perhatian
Selain projek Sungai Rambai, RTB Sungai Ayer Salak di daerah Melaka Tengah turut mendapat perhatian sebagai penyelesaian jangka panjang bagi menangani masalah banjir berulang di kawasan berkenaan.
Projek yang dianggarkan bernilai RM154 juta itu telah mendapat kelulusan peringkat prapelaksanaan di bawah Rolling Plan 2, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Peringkat prapelaksanaan melibatkan persediaan awal termasuk pelantikan perunding, kerja ukur serta pengambilan tanah sebelum pelaksanaan fizikal projek.
Pada masa sama, Kajian Kemungkinan RTB Bukit Rambai bernilai RM250,000 turut dikenal pasti bagi meneliti penyelesaian teknikal yang bersesuaian untuk mengurangkan risiko banjir di kawasan terbabit.
50,000 penduduk dapat manfaat
Usaha memperkukuh sistem tebatan banjir di Melaka turut menunjukkan perkembangan positif berdasarkan data pemantauan JPS dan Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN).
Jumlah titik panas banjir di negeri itu menunjukkan penurunan daripada 157 lokasi pada 2021 kepada 106 lokasi pada 2025.
JPS Melaka turut menjangkakan lebih 50,000 penduduk akan mendapat manfaat perlindungan daripada risiko banjir apabila keseluruhan lapan projek RTB yang diluluskan siap sepenuhnya.
Pelaksanaan projek-projek berkenaan dijangka membantu meningkatkan keupayaan pengurusan aliran air, mengurangkan limpahan sungai serta memperkukuh daya tahan infrastruktur negeri dalam menghadapi kejadian hujan lebat dan perubahan iklim.
Usaha itu mencerminkan kepentingan perancangan tebatan banjir secara bersepadu, bukan sahaja melalui pembangunan infrastruktur fizikal, malah menerusi pemuliharaan sungai dan penambahbaikan sistem saliran bagi melindungi keselamatan serta kesejahteraan penduduk.




Comments