Ismail Lasim jangan berdolak-dalik


Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Ismail Lasim, digesa agar tidak berdolak-dalik dalam menyatakan pendirian berhubung kedudukan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Pengerusi Sekretariat Taat Setia Sokongan Tuanku Muhriz, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin (gambar) menegaskan bahawa Ismail tidak sepatutnya lagi mengeluarkan kenyataan berlapik kerana rakyat di negeri itu memerlukan kepastian.
Beliau turut mendakwa, kenyataan terbaru Ismail yang memaklumkan usaha mendapatkan perkenan Tuanku Muhriz bagi menetapkan tarikh persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 26 November serta pembentangan Belanjawan Negeri pada 27 November secara jelas mengesahkan kedudukan baginda.
"Tindakan memohon perkenan untuk menghadap bagi menetapkan kedua-dua tarikh berkenaan membuktikan Tuanku Muhriz ialah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah dan berdaulat mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
"Jika sudah mengakui Tuanku Muhriz sebagai pemerintah yang sah, perkara itu hendaklah dinyatakan secara tegas, jelas, dan berani tanpa berselindung di sebalik ayat 'sedang berusaha'. Jangan lagi menggunakan istilah 'Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan' secara umum tanpa menyebut nama baginda sehingga menimbulkan kekeliruan," katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.
Dalam pada itu, Megat D Shahriman turut menyeru semua pihak agar mengalirkan rasa hormat dan akur terhadap segala keputusan Dewan Kerapatan Undang (DKU) berhubung pemecatan beberapa Datuk Undang yang telah diwartakan secara rasmi oleh kerajaan negeri.
Beliau menegaskan bahawa keputusan berkenaan adalah muktamad dan tidak wajar dipertikaikan oleh mana-mana pihak.




Comments