Strategi PH di Melaka mampu tarik pengundi muda, atas pagar


Langkah Pakatan Harapan (PH) menggandingkan muka baharu dengan pemimpin veteran prolifik seperti Adly Zahari dilihat mampu memberi hasil positif pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Pengarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr Mazlan Ali berkata, rekod Adly sewaktu menerajui pentadbiran Melaka sebelum ini sudah meninggalkan persepsi yang sangat positif dalam kalangan rakyat.
Justeru, strategi berkenaan berupaya menarik sokongan pengundi atas pagar, pengundi muda, dan pengundi luar.
"Adly dikenali dengan pentadbiran yang bersih, berintegriti, serta membawa banyak reformasi dan kebajikan kepada rakyat.
"Jadi dengan kombinasi ini berpotensi membuahkan hasil buat PH, sekurang-kurangnya bagi memenangi jumlah kerusi yang signifikan," katanya dipetik laporan media.
Dalam pada itu, Dr. Mazlan menambah, biarpun Umno mempunyai kubu kuat (political base) di Melaka, beberapa isu mutahir membabitkan parti itu boleh mendorong peralihan sokongan pengundi (swing votes) kepada PH.
"Beberapa isu besar seperti skandal Tabung Haji, kerugian Universiti Teknologi MARA (UiTM), isu FELDA dan isu-isu lain membabitkan integriti Umno menyebabkan parti itu terkait dengan isu ketelusan.
"Pengundi yang terkesan dengan isu-isu berkenaan mungkin akan 'swing' kepada PH.
"Selain itu, sentimen di media sosial menunjukkan sekitar 95 peratus netizen tidak bersetuju dengan pelancaran Tabung Solidariti Najib Razak kerana dianggap tidak wajar mengumpul derma buat individu yang telah dijatuhi hukuman," jelas beliau.




Comments