Kerjasama politik: Parti parti di Sarawak perlu bersikap terbuka - Roland Engan


Semua parti politik di Sarawak perlu bersikap terbuka terhadap kerjasama dan dialog politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke - 13 tanpa menjadikan perbezaan ideologi dan kepentingan parti sebagai penghalang.
Peringatan itu disuarakan Naib Presiden KEADILAN, Roland Engan yang berpandangan bahawa Sarawak seharusnya menjadi contoh kematangan demokrasi, toleransi dan perpaduan dalam kalangan rakyatnya, lebih-lebih lagi negeri itu kaya dengan kepelbagaian kaum, agama, budaya serta pandangan politik.
"Saya ingin menegaskan bahawa pintu kolaborasi politik di Sarawak mesti sentiasa terbuka demi kepentingan rakyat dan masa depan negeri ini.
"Mana-mana parti politik yang memilih untuk menutup pintu kerjasama, menolak dialog atau enggan mempertimbangkan kolaborasi dengan pihak lain hanya kerana perbezaan pandangan politik sebenarnya sedang memperlihatkan sikap politik yang sempit dan tidak matang.
"Lambat laun, sikap sedemikian boleh menyebabkan parti berkenaan kehilangan kepercayaan dan sokongan rakyat," katanya dalam satu kenyataan.
Roland menambah, rakyat Sarawak tidak mahu melihat politik yang hanya berasaskan permusuhan, perebutan kuasa dan kepentingan kelompok tertentu.
Sebaliknya beliau berkata, rakyat mahukan pemimpin dan parti politik yang mampu bekerjasama, menghormati perbezaan serta mengutamakan kepentingan bersama.
"Kita boleh berbeza parti, berbeza ideologi dan berbeza pendapat, tetapi kita tetap bersaudara sebagai rakyat Sarawak.
"Dalam menghadapi PRN13, semua parti politik harus mempunyai keberanian untuk membuka ruang perbincangan dan meneroka kemungkinan kolaborasi politik.
"Tiada parti yang sepatutnya menganggap dirinya terlalu besar sehingga tidak memerlukan kerjasama pihak lain.
"Masa depan Sarawak harus dibina melalui penyertaan, kerjasama dan komitmen semua pihak," ujarnya lagi.
Untuk rekod, KEADILAN Sarawak bertekad untuk menyertai PRN yang bakal diadakan pada hujung tahun ini selepas pembubaran DUN Sarawak tempoh hari, biarpun gabungan pemerintah yang menguasai Kerajaan Negeri, GPS tidak senang dengan keputusan berkenaan.




Comments