Subsidi tambang RM30 Selangor dua fasa, 50,000 rakyat nikmati manfaat
- Helmi Mohd Foad

- 1 hour ago
- 2 min read

Inisiatif subsidi tambang pengangkutan awam sebanyak RM30 sebulan di Selangor akan dilaksanakan secara berperingkat menerusi dua fasa bermula Jun ini bagi membantu meringankan kos mobiliti rakyat.
Memetik Soalan Lazim (FAQ) yang dikeluarkan Rantaian Mesra Sdn Bhd (RMSB) selaku agensi pelaksana, Fasa 1 yang bermula pertengahan Jun melibatkan perkhidmatan Respons Permintaan Transit (DRT) menerusi platform Kumpool.
Fasa 2 pula dijangka bermula pertengahan September dengan skop diperluaskan membabitkan perkhidmatan DRT, komuter serta bas henti-henti.
Program di bawah Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor itu menawarkan subsidi tambang kepada 50,000 pemohon yang layak bagi tempoh enam bulan sehingga Disember 2026.
Bagi membolehkan orang ramai menikmati manfaat penuh sepanjang tempoh pelaksanaan, pemohon perlu membuat pendaftaran sebelum 30 Jun.
Setiap individu hanya dibenarkan mengemukakan satu permohonan.
Antara syarat kelayakan adalah pemohon mestilah warganegara Malaysia berusia 18 tahun ke atas, menetap serta berdaftar sebagai pengundi di Selangor, memiliki telefon pintar dan tinggal di kawasan yang mempunyai akses kepada perkhidmatan pengangkutan awam ditetapkan.
Pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) turut layak memohon tertakluk kepada syarat ditetapkan, manakala pelajar sekolah masih belum termasuk dalam program itu buat masa ini.
Permohonan perlu dibuat menerusi aplikasi NINE eWallet dengan pemohon diwajibkan memuat naik dokumen sokongan bagi tujuan semakan dan pengesahan.
Bagaimanapun, kelayakan asas tidak menjamin permohonan diterima kerana kelulusan masih tertakluk kepada kuota semasa, peruntukan tersedia, proses semakan RMSB serta persetujuan Kerajaan Negeri.
Bantuan RM30 akan dikreditkan secara automatik ke aplikasi NINE eWallet penerima setiap bulan sepanjang tempoh program, tertakluk kepada status kelayakan.
Baki subsidi yang tidak digunakan dalam bulan semasa tidak akan dibawa ke bulan berikutnya.
Penerima sebaliknya akan menerima kredit baharu sebanyak RM30 pada bulan berikutnya.
Penerima yang tidak menggunakan subsidi selama dua bulan berturut-turut pula boleh digugurkan daripada program dan tempat berkenaan akan diberikan kepada pemohon lain yang layak.
Sebarang pertanyaan berkaitan dasar program boleh diajukan kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (PSUK) di talian 03-5540 7000.
Bagi urusan permohonan dan penyaluran subsidi, orang ramai boleh menghubungi RMSB menerusi talian 03-5650 0913 atau e-mel mobiliti@rmsb.my.
Pertanyaan berkaitan aplikasi NINE eWallet serta operasi pengangkutan awam hendaklah dirujuk kepada penyedia perkhidmatan masing-masing.




Comments