Sukarelawan siswa Malaysia, Vietnam perkukuh perpaduan di Segamat


Semangat kesukarelawanan dalam kalangan anak muda daripada pelbagai latar belakang mampu menjadi jambatan perpaduan, sekali gus mengeratkan hubungan persahabatan serantau tanpa mengira bangsa, agama dan sempadan negara.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara, R Yunewaran berkata, usaha sukarelawan berbakti kepada masyarakat bukan sahaja membantu pembangunan komuniti setempat, malah memupuk persefahaman dan persahabatan antara generasi muda dari negara berbeza.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Warisan Budaya Bangsa sempena MADANI Berkhidmat: Misi Sukarelawan Siswa YSS-ASEAN 2026 di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Awat, Segamat.
"Semangat kesukarelawanan menyatukan kita tanpa mengira bangsa, agama mahupun sempadan negara," katanya dalam muat naik di media sosial.
Menurutnya, seramai 11 sukarelawan siswa bersama seorang pegawai lapangan berganding bahu dengan komuniti Kampung Awat bagi melaksanakan pelbagai inisiatif sepanjang misi berkenaan.
Antara aktiviti dilaksanakan termasuk pemetaan kampung, penamaan jalan, penganjuran sukan rakyat serta projek menyelamatkan tebing Sungai Ulu Muar.
Yunewaran berkata, penyertaan sukarelawan dari Vietnam turut memberikan nilai tambah kepada misi itu menerusi pertukaran budaya dan pengukuhan hubungan persahabatan antara masyarakat kedua-dua negara.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada empat keluarga angkat serta penduduk Kampung Awat yang menerima kehadiran sukarelawan dengan penuh mesra sepanjang program berlangsung.
"Inilah semangat sebenar tema ‘Kesukarelawanan Tunjang Perpaduan’.
"Apabila anak muda daripada pelbagai latar belakang berganding bahu berbakti kepada masyarakat, kita bukan sahaja membangunkan komuniti, malah membina jambatan perpaduan untuk generasi akan datang," katanya.
Majlis itu turut dihadiri wakil pengurusan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS), Abdul Rahim Rahman; Ketua Kampung Awat, Paridol Khamis; wakil Guru Besar SK Kampung Awat, Raja Muhammad Azri Raja Ismail; serta wakil Persatuan Pelajar Vietnam di Ho Chi Minh City, Hang Minh Thong.
Yunewaran turut mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada YSS, warga sekolah, pegawai terlibat, penduduk Kampung Awat serta semua sukarelawan yang menjayakan misi berkenaan.
Beliau berharap inisiatif kesukarelawanan seumpama itu dapat terus diperkasakan bagi melahirkan generasi muda yang prihatin, berjiwa masyarakat dan mampu menjadi penggerak perpaduan di peringkat nasional serta serantau.




Comments