Akta Perkhidmatan Parlimen langkah penting perkukuh demokrasi – Onn


Pelaksanaan Akta Perkhidmatan Parlimen merupakan langkah penting dalam memperkukuh kebebasan institusi legislatif serta meningkatkan mutu demokrasi negara.
Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar berkata, pelaksanaan akta itu bersama penubuhan Majlis Perkhidmatan Parlimen akan membolehkan urusan pentadbiran dan pengurusan Parlimen dilaksanakan menerusi mekanisme lebih tersusun serta bebas.
Beliau berkata, sokongan terhadap reformasi itu dizahirkan susulan penjelasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said yang bertanggungjawab bagi hal ehwal undang-undang dan reformasi institusi ketika sesi penggulungan perbahasan peringkat dasar Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 di Dewan Rakyat.
"Antara perkara penting yang dibangkitkan ialah pelaksanaan Akta Perkhidmatan Parlimen yang telah diluluskan dan Majlis Perkhidmatan Parlimen yang dijangkakan akan memulakan mesyuarat pada Disember 2026," katanya dalam kenyataan hari ini.

Onn yang juga Setiausaha Politik bagi Presiden KEADILAN berkata, beliau tertarik dengan ungkapan menteri yang mengibaratkan perubahan berkenaan sebagai “talak tiga” bagi menggambarkan penyerahan kuasa pentadbiran dan pengurusan Parlimen kepada institusi itu sendiri menerusi kerangka perundangan baharu.
Menurutnya, penubuhan Majlis Perkhidmatan Parlimen yang diperjuangkan oleh Pakatan Harapan sejak dua dekad lalu itu membolehkan urusan pentadbiran, perkhidmatan dan perkara berkaitan peruntukan Parlimen diuruskan dengan lebih teratur, selaras dengan prinsip kebebasan institusi legislatif.
Selain reformasi Parlimen, beliau turut menyambut baik agenda pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya yang disifatkan sebagai antara perubahan besar dalam sistem perundangan dan pentadbiran negara.
"Saya bersetuju dengan pandangan Menteri yang menyifatkan agenda ini sebagai antara perubahan besar dalam sistem perundangan dan pentadbiran negara," katanya.
Beliau turut menghargai komitmen dan keberanian politik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam membawa agenda reformasi institusi yang telah lama dibincangkan dalam Pakatan Harapan.
Bagaimanapun, Onn menegaskan bahawa reformasi tidak seharusnya terhenti pada perubahan dasar atau pindaan undang-undang semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui pelaksanaan berkesan, ketelusan dan akauntabiliti.
"Reformasi bukan sekadar perubahan dasar atau pindaan undang-undang. Reformasi perlu diterjemahkan melalui pelaksanaan yang berkesan, ketelusan, akauntabiliti dan penghormatan terhadap prinsip pengasingan kuasa," katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap pelaksanaan Akta Perkhidmatan Parlimen dapat terus memperkukuh kebebasan, kewibawaan dan keberkesanan Dewan Rakyat serta Dewan Negara dalam melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat.
Onn berkata, institusi yang kukuh perlu dibangunkan untuk kepentingan negara dalam jangka panjang dan bukan semata-mata bagi memenuhi kepentingan individu atau kerajaan yang memerintah.




Comments