top of page

PRN Sarawak: KEADILAN tekankan kestabilan politik, pembangunan inklusif

Writer: Azuan Ab Rahman
Azuan Ab Rahman
1 hour ago
2 min read

Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Sarawak menyambut baik pembubaran Dewan Undangan Negeri Sarawak Ke-19 (DUN-19) bagi membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.


Dalam kenyataan hari ini, KEADILAN Sarawak berkata, rakyat di negeri itu semakin matang dalam menilai landskap politik dan bukan sekadar mengharapkan janji atau retorik, sebaliknya mahukan dasar berwibawa, kepimpinan berintegriti serta hasil pembangunan yang dapat dirasai dalam kehidupan seharian.


Justeru pihaknya menggesa pilihan raya kali ini dilaksanakan secara adil, bebas dan telus oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), selaras dengan peruntukan Perlembagaan Negeri Sarawak.

"Rakyat Sarawak mahukan kestabilan politik yang berkekalan, kemajuan ekonomi yang inklusif, peluang pekerjaan dengan gaji bermaruah serta pembangunan infrastruktur moden dan berdaya saing," kata kenyataan itu.


Menerusi kenyataan sama, KEADILAN Sarawak turut menegaskan kestabilan politik penting bagi menjamin kesinambungan dasar pembangunan, meningkatkan keyakinan pelabur dan merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri dengan disokong oleh tadbir urus yang baik, ketelusan, akauntabiliti serta penghormatan terhadap prinsip demokrasi.


Agenda pembangunan negeri juga menurut mereka hendaklah seiring dengan usaha memperkukuh hubungan Persekutuan Negeri, menghormati semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta memastikan hak dan kepentingan Sarawak terus diberikan perhatian sewajarnya


"Dalam aspek ekonomi, Sarawak perlu terus memperkukuh sektor perindustrian, ekonomi digital, tenaga hijau, pertanian moden, pendidikan, penyelidikan dan inovasi bagi memastikan pertumbuhan negeri memberi manfaat kepada rakyat secara menyeluruh.


"Pada masa sama, pembangunan infrastruktur perlu merangkumi jaringan jalan raya dan jambatan berkualiti, bekalan air bersih, tenaga elektrik yang stabil, capaian internet berkelajuan tinggi, kemudahan kesihatan moden serta pengangkutan awam yang cekap.


"Usaha itu penting bagi memastikan kemakmuran dapat dinikmati secara lebih adil oleh masyarakat di bandar, luar bandar dan pedalaman," tambah kenyataan itu.


Dalam pada itu, KEADILAN Sarawak menyeru semua pihak memastikan proses demokrasi berlangsung dalam suasana aman, matang, bebas dan adil tanpa politik kebencian, sentimen perpecahan atau sebarang bentuk intimidasi.


Perbezaan pandangan politik tegas mereka perlu diraikan sebagai sebahagian daripada kematangan demokrasi dan tidak seharusnya menjejaskan keharmonian masyarakat pelbagai kaum, agama dan budaya.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page