top of page

“PM Islam pertama?” AMANAH Wilayah persoal slogan politik pembangkang

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
55 minutes ago
1 min read

Slogan melahirkan “Perdana Menteri Islam pertama” dipersoalkan Pengarah Biro Komunikasi AMANAH Wilayah Persekutuan, Mejar (B) Razali Zakaria (gambar), yang menyifatkannya sebagai retorik politik yang boleh mengelirukan rakyat.


Beliau berkata, Malaysia sejak merdeka mempunyai Perdana Menteri dan kesemuanya beragama Islam, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai maksud sebenar slogan berkenaan.


"Malaysia sudah mempunyai 10 Perdana Menteri dan semuanya beragama Islam.


"Jadi, mengapa masih timbul seruan melahirkan ‘PM Islam pertama’?" tanyanya dalam kenyataan hari ini.


Razali turut menegaskan bahawa penyokong Pas yang mengetengahkan persoalan itu perlu faham parti mereka hanyalah sebuah parti politik dan tidak seharusnya dianggap sebagai wakil eksklusif agama Islam dalam menentukan kepimpinan negara.


Menurutnya, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan sudah termaktub dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan dan tidak wajar dijadikan bahan pertikaian melalui slogan politik.


Beliau berkata, penilaian terhadap seseorang pemimpin perlu dibuat berdasarkan keupayaan mentadbir negara, integriti, prestasi serta kesungguhan menjaga kebajikan rakyat, bukannya semata-mata berdasarkan lambang atau identiti parti politik.


Razali turut mengingatkan agar isu agama tidak digunakan melalui slogan yang boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat, khususnya berkaitan kedudukan Islam dalam sistem pemerintahan negara.


"Kepimpinan mesti dinilai melalui integriti, prestasi dan kebajikan rakyat, bukan lambang parti," katanya.


Beliau menegaskan bahawa Islam merupakan agama Persekutuan yang kedudukannya dijamin oleh Perlembagaan, bukannya hak milik eksklusif mana-mana puak.


"Islam agama Persekutuan, bukan hak milik mana-mana parti," katanya.


Semalam, melalui akaun laman Threads Pejuang Pas Kelantan, dipaparkan satu muat naik menyeru agar Datuk Seri Anwar Ibrahim dijatuhkan dalam pilihanraya akan datang dan naikkan perdana menteri Islam pertama dari Pas.


Hantaran itu bagaimanapun menerima kecaman dari warga maya kerana sejak merdeka 1957 belum pernah Malaysia memiliki PM bukan Islam.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page