top of page

Komuniti MADANI bantu individu memerlukan di Melaka

Writer: Sidiqin Omar
Sidiqin Omar
1 hour ago
2 min read
Abdullah Izhar menyerahkan bantuan sumbangan tunai kepada individu memerlukan
Abdullah Izhar menyerahkan bantuan sumbangan tunai kepada individu memerlukan

Inisiatif Komuniti MADANI membantu individu yang memerlukan di Melaka membuktikan bahawa penyebaran maklumat melalui media sosial dan rangkaian komuniti mampu diterjemahkan kepada tindakan bantuan secara langsung kepada rakyat.


Ketua Penerangan KEADILAN Melaka, Eddiarman Yunos berkata, usaha menyantuni masyarakat di lapangan itu menunjukkan inisiatif Komuniti MADANI membuahkan hasil apabila maklumat mengenai individu atau keluarga yang memerlukan berjaya mendapat perhatian pihak berkaitan.


Menurutnya, pendekatan berkenaan bukan sahaja melibatkan penyebaran maklumat di media sosial, malah turut merangkumi usaha turun padang bagi melihat sendiri keadaan masyarakat dan menyampaikan bantuan kepada mereka yang memerlukan.


"Program seperti ini sangat baik kerana kita dapat menyantuni rakyat di lapangan dan melihat sendiri keadaan yang dihadapi masyarakat, khususnya golongan yang memerlukan di Melaka.

Eddiarman Yunos
Eddiarman Yunos

"Kita tidak boleh melihat fungsi Komuniti MADANI hanya dari sudut media sosial atau alam siber. Maklumat yang diterima perlu disusuli tindakan supaya bantuan dapat disampaikan secara fizikal kepada mereka yang memerlukan," katanya kepada Suara Keadilan.


Eddiarman berkata, sebahagian maklumat mengenai individu yang memerlukan bantuan diperoleh melalui media sosial, pempengaruh atau Key Opinion Leader (KOL), serta hebahan menerusi Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).


Katanya, kerjasama pelbagai pihak dalam menyampaikan maklumat membolehkan keperluan individu tertentu dikenal pasti dan dimaklumkan kepada pihak berkaitan untuk tindakan susulan.


Menurutnya, usaha tersebut memperlihatkan kepentingan kerjasama antara saluran komunikasi, agensi kerajaan dan komuniti setempat dalam memastikan maklumat mengenai kesusahan rakyat tidak terhenti pada peringkat hebahan semata-mata.


Dalam pada itu, Eddiarman berharap fungsi NADI dapat diperkasakan supaya lebih ramai penduduk mendapat manfaat, khususnya melalui program yang memenuhi keperluan masyarakat setempat.


Beliau berkata, NADI Bukit Beruang yang dilakukan tinjauan juga berpotensi menjadi hab aktiviti komuniti yang bukan sahaja menyediakan kemudahan maklumat, malah menawarkan latihan kemahiran seperti memasak dan menjahit bagi membantu penduduk meningkatkan keupayaan menjana pendapatan.


Katanya, pendekatan menyantuni rakyat secara langsung perlu diteruskan supaya golongan yang memerlukan bukan sahaja mendapat perhatian, tetapi turut memperoleh bantuan dan peluang yang boleh meningkatkan kesejahteraan hidup mereka.


Beliau berharap inisiatif Komuniti MADANI dan peranan NADI dapat diperluaskan agar lebih ramai individu yang memerlukan di Melaka dapat dikenal pasti dan dibantu melalui kerjasama berterusan antara masyarakat dengan pihak berkaitan.


Baru baru ini, sebagai sebahagian daripada usaha menyantuni golongan yang memerlukan, bantuan daripada Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, turut disampaikan kepada beberapa individu di Melaka menerusi Abdullah Izhar Mohamed Yusof.


Penyampaian bantuan itu mencerminkan usaha mendekati masyarakat secara langsung bagi meringankan beban individu yang memerlukan, selain memperlihatkan bagaimana maklumat yang disalurkan melalui rangkaian komuniti boleh membawa kepada tindakan susulan dalam membantu golongan berkenaan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page