Politik: Sentimen VS Fakta, Emosi Dimanipulasi, Fakta Dikaburi


Oleh: Dr Baharudin Ali Masrom Al-Haj
ULASAN: Dalam politik, fakta tidak semestinya menang di medan persepsi.
Hari ini, yang paling laris di media sosial bukan semestinya kebenaran, tetapi kandungan yang membangkitkan kemarahan, ketakutan dan kebencian. Apabila emosi berjaya menguasai pemikiran, fakta mudah diketepikan.
Lebih berbahaya, propaganda boleh menjadikan kelemahan kecil seolah-olah kegagalan menyeluruh, sementara kejayaan yang nyata tenggelam dalam kebisingan politik. Pelbagai kandungan di media sosial memperlihatkan bagaimana isu ekonomi, kos sara hidup, subsidi dan bantuan rakyat boleh dipersembahkan secara terpilih untuk membina persepsi negatif terhadap Kerajaan Perpaduan.
Kesusahan rakyat dijadikan modal politik, kelemahan diperbesar-besarkan manakala pencapaian diperkecilkan atau langsung tidak disebut. Ada yang memetik angka tanpa konteks yang menyeluruh, memotong kenyataan daripada keseluruhan ucapan dan mengulang dakwaan sehingga kelihatan seperti kebenaran.
Kebencian politik bukan sikap matang
Namun, kita perlu adil bukan semua kritikan terhadap kerajaan merupakan propaganda. Kritikan berasaskan fakta ialah sebahagian daripada demokrasi; manipulasi berlaku apabila fakta dipilih atau diputarbelitkan demi mengelirukan masyarakat. Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim juga tidak harus kebal daripada kritikan.

Pertumbuhan ekonomi, bantuan tunai, subsidi bersasar dan program meringankan kos sara hidup perlu dinilai berdasarkan hasil sebenar kepada rakyat. Pengumuman peruntukan bukan bukti bahawa semua masalah telah selesai. Namun, menafikan segala usaha kerajaan hanya kerana kebencian politik juga bukan sikap yang matang.
Jika kelemahan kerajaan wajib didedahkan, keberhasilannya juga wajib diakui. Mengapa hanya berita buruk yang disebarkan, sedangkan fakta yang memberi gambaran lebih menyeluruh tidak mendapat perhatian yang sama?
Persoalan sebenarnya ialah sama ada sesetengah pihak benar-benar mahu memperjuangkan kesejahteraan rakyat atau sekadar menjadikan keresahan rakyat sebagai tangga untuk kembali berkuasa.
Ketaksuban politik
Ketaksuban politik boleh membutakan pertimbangan sehingga apa sahaja yang dilakukan oleh lawan dianggap salah, sementara kesalahan pihak sendiri dipertahankan.
Apabila kerakusan kuasa mengatasi kepentingan negara, rakyat bukan lagi dianggap sebagai amanah yang perlu dibela, tetapi sebagai sasaran propaganda yang boleh digerakkan melalui sentimen kaum, agama dan kebencian. Politik seperti ini bukan sahaja merosakkan wacana demokrasi, malah menghakis keupayaan rakyat membezakan antara perjuangan tulen dengan kepentingan peribadi.
Memang kerajaan mana pun tidak sempurna. Jangan kita terlalu terpengaruh dengan propaganda yang dipelopori oleh Joseph Goebbels, Menteri Propaganda Jerman zaman Hitler yang mengatakan bahawa "kepalsuan yang diulang-ulang akan dianggap benar".
Sentimen dan persepsi kini cuba mengaburi kebenaran dan fakta.
Kesimpulannya, rakyat mesti menjadi pengguna maklumat yang bijaksana, bukan pembeli emosi yang mudah dipengaruhi.
Dr Bam Al-Haj merupakan penulis bebas dan ahli NeuroMarketing Strategist.




Comments