Tanah Adat: Semak menyeluruh, pastikan pemilik asal dapat hak pemilikan


Kerajaan Negeri Sarawak digesa melaksanakan semakan menyeluruh terhadap tuntutan Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) bagi memastikan hak masyarakat peribumi yang terbukti sebagai pemilik atau pewaris sah dikembalikan mengikut undang-undang.
Timbalan Ketua Cabang KEADILAN Sibuti, Zulhaidah Suboh berkata, isu tanah adat tidak seharusnya dipandang ringan kerana ia bukan sekadar membabitkan pemilikan tanah, malah turut berkait dengan sejarah, identiti, maruah dan kelangsungan hidup masyarakat asal Sarawak.
Menurutnya, Kerajaan Negeri wajar diberi pengiktirafan atas usaha mengambil alih aset strategik dan melaksanakan pembangunan untuk kesejahteraan rakyat, namun isu tuntutan tanah adat yang belum selesai juga perlu diberikan perhatian serius.
"Apakah ertinya slogan ‘Ambik Aset, Labur Ke Rakyat’ sekiranya tanah adat yang menjadi warisan nenek moyang masyarakat asal masih berdepan pertikaian hak milik, pengiktirafan dan tuntutan yang belum diselesaikan?" katanya dalam kenyataan media.
Beliau berkata, tuntutan tanah adat yang diperjuangkan masyarakat peribumi, sama ada di kawasan pedalaman mahupun bandar, memerlukan penelitian serius, khususnya berkaitan dokumentasi sejarah, status tanah dan proses pentadbiran Jabatan Tanah dan Survei Sarawak.
Zulhaidah berkata, pembangunan bernilai berbilion ringgit tidak seharusnya menjadi alasan untuk membiarkan tuntutan masyarakat asal berlarutan tanpa penyelesaian yang adil.
Sehubungan itu, beliau menggesa Kerajaan Negeri mengambil beberapa langkah, termasuk menyemak tuntutan tanah adat di seluruh Sarawak secara menyeluruh, meneliti bukti sejarah dengan telus serta menyiasat sebarang dakwaan salah guna kuasa berkaitan pengurusan tanah berkenaan.
Katanya, hak tanah perlu dikembalikan kepada pewaris yang terbukti berhak berdasarkan bukti dan peruntukan undang-undang yang terpakai.
"Inilah antara isu terbesar yang wajib diberikan keutamaan oleh Kerajaan Negeri Sarawak," katanya.
Beliau menegaskan bahawa tanah adat mempunyai nilai yang jauh melangkaui ukuran kewangan kerana ia diwarisi turun-temurun dan menjadi sebahagian daripada kehidupan serta identiti masyarakat peribumi.
"Aset boleh dibeli, bangunan boleh dibina dan pelaburan boleh berkembang. Namun, tanah adat yang diwarisi sejak turun-temurun tidak boleh dinilai dengan wang ringgit semata-mata," katanya.
Zulhaidah berkata, usaha membangunkan ekonomi negeri perlu bergerak seiring dengan perlindungan hak masyarakat asal supaya manfaat pembangunan dapat dinikmati tanpa mengabaikan tuntutan pemilik tanah yang sah.
"Jangan hanya mengambil kembali aset untuk rakyat, tetapi pastikan hak tanah adat rakyat juga dikembalikan kepada yang berhak.
"Pembangunan tanpa keadilan terhadap pemilik asal bukanlah kemajuan yang menyeluruh," katanya lagi.




Comments