top of page

Jangan bunuh karakter anak muda, beri peluang buktikan kemampuan

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
1 hour ago
2 min read

Anak muda perlu diberi peluang membina pengalaman dan mengasah kepimpinan melalui proses politik, bukannya dijadikan sasaran serangan peribadi hanya kerana tampil sebagai calon pilihanraya.


Warga maya, Norman Daud berkata, generasi muda termasuk Generasi Z wajar diberi ruang untuk membuktikan kemampuan mereka dalam kepimpinan dan menyumbang kepada pembangunan negara.


Beliau berkata, Mohammad Mukhlisul Mubin (gambar) atau lebih dikenali sebagai Mukhlis Mubin calon DUN Kuala Linggi pada Pilihan Raya Negeri Melaka bukanlah individu tanpa latar belakang seperti yang digambarkan sesetengah pihak, sebaliknya merupakan graduan undang-undang dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).


Menurutnya, Mukhlis juga pernah muncul sebagai johan pidato antarabangsa Piala Perdana Menteri selain aktif dalam gerakan mahasiswa ketika menuntut di universiti berkenaan.


"Kenapa bila diletak anak muda sebagai calon, kita mesti nak bunuh karakter mereka? Anak muda juga perlu diberi peluang untuk belajar, membina pengalaman dan mengasah kepimpinan melalui proses politik," katanya dalam kenyataan.


Norman berkata, tindakan melabel anak muda dengan gelaran seperti “budak Rohingya”, “Mat Rempit” dan “budak tak tahu apa” hanya kerana perbezaan politik tidak sepatutnya menjadi budaya dalam persaingan demokrasi.


Beliau menegaskan, walaupun golongan muda mungkin belum mempunyai pengalaman seluas generasi terdahulu, mereka perlu diberikan ruang untuk belajar, berkembang dan membina rekod kepimpinan sendiri.


Katanya, pengalaman tidak terbentuk dalam sekelip mata, sebaliknya perlu dibina melalui peluang, tanggungjawab dan kesediaan untuk berkhidmat kepada masyarakat.


"Generasi ini perlu diberi peluang untuk melahirkan lebih ramai pemimpin daripada kalangan mereka.


"Mereka mungkin belum mempunyai pengalaman sepanjang generasi terdahulu, tetapi mereka perlu diberi ruang untuk membina pengalaman itu," katanya.


Norman turut mengingatkan bahawa masa depan negara bukan hanya menjadi milik generasi hari ini kerana golongan muda bakal mewarisi tanggungjawab memimpin serta mencorakkan hala tuju Malaysia.


Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak memberikan peluang kepada calon muda untuk membuktikan kemampuan mereka, manakala rakyat berhak membuat penilaian berdasarkan prestasi, kebolehan dan sumbangan mereka.


"Masa depan negara ini bukan hanya milik generasi hari ini. Anak muda inilah yang akan mewarisi tanggungjawab memimpin dan mencorak masa depan Malaysia.


"Berilah mereka peluang untuk membuktikan kemampuan, dan biarlah rakyat menilai mereka berdasarkan apa yang mereka mampu lakukan," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page