Lebih 280 pemandu teksi Melaka terima bantuan khas RM1,000


Lebih 280 pemandu teksi di Melaka menerima Bantuan Khas Kewangan secara sekali bayar (one-off) sebanyak RM1,000 menerusi inisiatif Kerajaan MADANI bagi meringankan beban kewangan dan kos penyelenggaraan kenderaan.
Program pemberian bantuan seluruh negara itu disempurnakan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, di Auditorium Kompleks CMI, Melaka.
Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dalam kenyataan berkata, bantuan tersebut turut meliputi pemandu kereta sewa dan bas sekolah sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan membantu golongan pengusaha pengangkutan darat.
Menurut kenyataan itu, program berkenaan dibiayai menerusi hasil jualan nombor pendaftaran khas siri 'H'.
"Kerajaan MADANI terus komited menghargai jasa dan pengorbanan seluruh warga pemandu yang menjadi nadi penting kepada sistem pengangkutan darat negara," kata kenyataan itu.
MOT berkata, bantuan berkenaan bertujuan meringankan tekanan kewangan yang ditanggung pemandu, khususnya dalam menguruskan kos penyelenggaraan kenderaan bagi memastikan perkhidmatan pengangkutan dapat diteruskan.
Kementerian itu turut menegaskan bahawa inisiatif berkenaan bukan sekadar bantuan kewangan, sebaliknya merupakan tanda penghargaan terhadap sumbangan warga pemandu dalam memastikan kelancaran pergerakan rakyat.
"Inisiatif ini bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi tanda penghargaan terhadap sumbangan warga pemandu dalam memastikan kelancaran mobiliti rakyat," katanya.
MOT berharap bantuan berkenaan dapat menyokong kebajikan golongan pemandu serta memperkukuh usaha kerajaan membina sistem pengangkutan darat yang lebih mampan dan berdaya tahan.
"Bersama kita memperkukuh kesejahteraan, menyemai ihsan dan membina masa depan yang lebih baik untuk semua," menurut kenyataan itu lagi.
Untuk rekod, bantuan kepada pemandu teksi dan pengangkutan awam telah diperjuangkan oleh Pakatan Harapan sejak lebih sedekad lalu, iaitu sebelum Pilihan Raya Umum 2023.




Comments