top of page

Lula menang Presiden Brazil kali keempat, perkukuh suara Selatan Global - PM

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
58 minutes ago
2 min read
Hubungan baik Lula dan Anwar memperkukuh perjuangan Selatan Global untuk dunia yang lebih adil
Hubungan baik Lula dan Anwar memperkukuh perjuangan Selatan Global untuk dunia yang lebih adil

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva atas kemenangan bersejarahnya dalam pilihan raya negara itu, sambil menyatakan komitmen Malaysia untuk memperkukuh hubungan dua hala dengan Brazil.


Anwar berkata, kemenangan itu memberikan mandat baharu kepada Lula untuk terus memimpin Brazil, selain mencerminkan sokongan rakyat terhadap kepimpinannya.


"Setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan kepada sahabat karib saya, Presiden Luiz Inácio Lula da Silva, atas kemenangan bersejarah beliau dalam pilihan raya di Brazil.


"Persaingan yang sengit ini telah memberikan beliau mandat baharu daripada rakyat Brazil untuk memimpin negara yang hebat itu," katanya dalam hantaran di media sosial.


Menurut Anwar, komitmen Lula terhadap keadilan sosial, usaha membasmi kemiskinan dan memastikan suara negara membangun didengari telah mendapat penghormatan bukan sahaja di Brazil, malah di peringkat antarabangsa.


Beliau berkata, kedua-dua pemimpin turut berkongsi keyakinan bahawa negara-negara Selatan Global (Global South) perlu memainkan peranan lebih besar dalam membentuk tatanan antarabangsa yang lebih adil.


"Saya sentiasa menghargai persahabatan kami dan berkongsi keyakinan beliau bahawa negara-negara Selatan Global perlu mempunyai suara yang lebih lantang dalam membentuk tatanan antarabangsa yang lebih adil," katanya.


Anwar berkata, Malaysia berharap dapat meneruskan kerjasama erat dengan Brazil di bawah kepimpinan Lula, khususnya dalam memperluas peluang ekonomi dan memperkukuh hubungan antara kedua-dua negara.


Antara bidang yang boleh diterokai bersama termasuk perdagangan, pelaburan serta kerjasama antara ASEAN dengan rantau Amerika Latin.


"Malaysia berharap dapat terus bekerjasama rapat dengan Brazil di bawah kepimpinan Presiden Lula.


"Banyak perkara yang boleh kita usahakan bersama, termasuk memperkukuh perdagangan dan pelaburan, memajukan kerjasama antara ASEAN dengan Amerika Latin, serta memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara," katanya.


Untuk rekod, Lula menang pada pilihan raya pusingan kedua selepas tewas tipis kepada pencabarnya, Senator Flávio Bolsonaro yang dianggap pro Presiden Donald Trump.


Lula bangkit dalam pengundian pusingan kedua semalam dengan menguasai 51.7 peratus undi, berbanding 48.2 peratus bagi Flavio yang juga anak kepada bekas Presiden, Jair Bolsonaro.


Dengan itu Lula berjaya kekal di tampuk pemerintahan Brazil buat penggal keempat.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page