Subsidi Selangor 'tepat pada masa', talian hayat buat nelayan, petani
- Suara Keadilan

- 4 days ago
- 1 min read

Persatuan Kebajikan Nelayan dan Peniaga-Peniaga Ikan Sekinchan menghargai inisiatif subsidi Kerajaan Negeri antara RM300 hingga RM600 kepada golongan nelayan dan petani di negeri itu.
Pengerusinya, Datuk Chia Choon Theng berkata, bantuan tersebut dianggap "tepat pada masa" memandangkan berlaku peningkatan kos operasi akibat kenaikan harga diesel dan bahan mentah susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.
"Peningkatan kos barangan kini mencecah sekitar 30 hingga 40 peratus. Oleh itu, kami berharap subsidi daripada Kerajaan Negeri Selangor ini dapat membantu meringankan beban ekonomi kami pada tahap tertentu," katanya dipetik.
Beliau sementara itu turut berharap mekanisme agihan bantuan tersebut dapat diperincikan dan dilaksanakan secara lebih sistematik bagi memastikan ketelusan serta keberkesanan penyaluran kepada golongan sasar.
Kerajaan Selangor pada 16 April lalu memperkenalkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor dengan peruntukan RM131 juta, khusus bagi mendepani krisis geopolitik di Asia Barat ketika ini.
Fasa pertama pakej diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari itu merangkumi pengukuhan sekuriti makanan, pengurangan kos sara hidup, kawalan inflasi, peningkatan penggunaan pengangkutan awam, serta bantuan bersasar kepada golongan paling terkesan.
Kerajaan Negeri memperuntukkan RM25 juta bagi membiayai kos bahan api atau input pertanian golongan pesawah, nelayan, petani, dan penternak yang terkesan oleh kenaikan harga bahan api.
Bantuan subsidi bagi tempoh selama enam bulan, bermula Jun ini dijangka memberi manfaat kepada 17,237 individu.




Comments