Subsidi bahan api: “Jangan politikkan langkah lindungi rakyat” – Mahfuz
- Redzuan Shamsudin

- 2 hours ago
- 1 min read

Langkah diambil Kerajaan MADANI dalam menangani krisis tenaga global tidak wajar dipolitikkan kerana bertujuan melindungi rakyat.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar, berkata pengumuman oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 26 Mac lalu dalam isu pelarasan subsidi bahan api merupakan langkah berani dan bertanggungjawab ketika negara menghadapi krisis tenaga global yang semakin meruncing.
"Malangnya, terdapat pihak pembangkang yang cuba memutar belit fakta dengan menggambarkan seolah-olah langkah ini membebankan rakyat, sedangkan hakikatnya 90 peratus rakyat tidak terjejas langsung," kata Mahfuz dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, tindakan sedemikian bukan sahaja mengelirukan, malah disifatkan sebagai usaha menghasut rakyat dan memperlekehkan usaha kerajaan.
"Ini bukan sekadar mengelirukan, tetapi satu kejahatan politik yang menghasut rakyat untuk memperlekeh usaha serius kerajaan melindungi kepentingan rakyat," ujarnya.

Mahfuz menegaskan bahawa keputusan kerajaan mengekalkan harga petrol RON95 pada RM1.99 membuktikan komitmen untuk memastikan rakyat tidak terbeban secara langsung dan hal itu perlu disyukuri.
"Dalam masa yang sama, penyelarasan subsidi kepada 200 liter sebulan adalah langkah rasional berdasarkan data penggunaan sebenar rakyat," katanya.
Manakala, langkah kawalan diesel di Sabah dan Sarawak yang menyaksikan had penggunaan kepada jenis kenderaan juga penting bagi memastikan bekalan mencukupi serta tidak disalah guna.
Dalam masa sama, beliau mempersoalkan pendirian pembangkang berhubung isu tersebut.
"Adakah mereka mahu kembali kepada sistem lama yang bocor dan menguntungkan penyeludup, atau sekadar mahu memancing kemarahan rakyat tanpa menawarkan penyelesaian sebenar?" soalnya.
Menurut Mahfuz, kerajaan memilih pendekatan berasaskan realiti berbanding langkah populis yang tidak mampan dalam keadaan global yang tidak menentu.
"Langkah ini mungkin tidak sempurna, tetapi ia adalah langkah yang betul," katanya lagi.




Comments