Tidak terkesan individu keluar parti, KEADILAN Johor kekal utuh – AMK Johor
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 2 min read

Tindakan bekas pimpinan KEADILAN Johor menubuhkan jawatankuasa sementara untuk menyertai parti Bersama tidak menjadi 'kudis' kepada KEADILAN di negeri paling selatan tanah air.
Menurut Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Johor, Faezuddin Puad (gambar), KEADILAN bukanlah sebuah parti yang dibina atas rasa kecewa atau kepentingan tertentu, dan tidak akan terkesan dengan tindakan mana mana individu meninggalkan perjuangan reformasi.
Katanya, beliau menghormati keputusan anggota yang memilih untuk keluar, namun menegaskan tindakan tersebut tidak akan melemahkan kekuatan organisasi.
"Kita menghormati keputusan mana-mana individu yang memilih meninggalkan parti. Ada atau tiada mereka, KEADILAN di Johor akan kekal utuh dengan struktur kepimpinan sedia ada, serta kekuatan akar umbi yang setia bersama perjuangan reformasi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, KEADILAN lahir daripada perjuangan menentang kezaliman dan korupsi, serta membela nasib rakyat tanpa mengira latar belakang.
"KEADILAN tidak dibina atas rasa kecewa, rajuk atau rengekan kerana tidak mendapat tempat dalam parti. Ia lahir daripada derita rakyat, daripada semangat melawan kezaliman dan memperjuangkan keadilan untuk semua," ujarnya.
Faezuddin turut menegaskan kekuatan parti itu tidak pernah bergantung kepada individu tertentu, sebaliknya didukung oleh sokongan akar umbi dan keyakinan terhadap agenda memartabatkan rakyat.
"Kekuatan KEADILAN tidak bergantung kepada seorang dua tokoh semata-mata. Perjuangan ini terlalu besar untuk diganggu oleh tindakan individu yang meletakkan kepentingan peribadi mengatasi agenda rakyat."
Beliau menambah, parti keramat itu akan terus berdiri kukuh dengan sokongan rakyat marhaen serta komitmen anggota parti di semua peringkat.
"InshaAllah, KEADILAN akan terus kekal berdiri atas sokongan rakyat marhaen dan keyakinan terhadap agenda reformasi yang sedang dilaksanakan kerajaan hari ini," katanya lagi.
Terdahulu, media melaporkan beberapa bekas pimpinan KEADILAN Johor telah menubuhkan jawatankuasa sementara untuk menyelaras anggota yang mahu menyertai parti Bersama, dan pimpinan berkenaan menekankan Bersama akan bertanding di 56 kerusi DUN Johor dalam Pilihan Raya Negeri yang akan diadakan dalam masa terdekat bagi mempamerkan kekuatan parti tersebut.




Comments