Siapa arah MB Ismail hantar surat letak jawatan? Umno perlu jawab – Mahfuz


Siapa yang mengarahkan surat peletakan jawatannya dihantar kepada Istana? Surat itu ada, orang hantar ada, tetapi siapa yang mengarahkan, tidak ada. Ini bukan permainan sorok-sorok di sekolah tadika. Ini urusan sebuah kerajaan negeri - Mahfuz
Umno perlu menjelaskan siapa sebenarnya yang mengarahkan penghantaran surat peletakan jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim kepada Istana tanpa persetujuan beliau seperti yang didakwanya.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar berkata, pengakuan Ismail bahawa surat berkenaan berada dalam simpanan pimpinan parti sebelum dihantar kepada Istana menimbulkan persoalan besar mengenai pihak yang sebenarnya mengendalikan pentadbiran Kerajaan Negeri.
Menurutnya, perkembangan itu menimbulkan persoalan sama ada keputusan penting membabitkan Menteri Besar dibuat oleh beliau sendiri atau ditentukan kepimpinan Umno.
"Siapa yang mengarahkan surat peletakan jawatannya dihantar kepada Istana? Surat itu ada, orang hantar ada, tetapi siapa yang mengarahkan, tidak ada.
"Ini bukan permainan sorok-sorok di sekolah tadika. Ini urusan sebuah kerajaan negeri," kata Mahfuz dalam satu kenyataan.
Mantan Ahli Parlimen Pkok Sena itu turut mengaitkan perkembangan terbaharu tersebut dengan dakwaan Ismail sebelum ini bahawa beliau dipaksa menandatangani Surat Cara Proklamasi berkaitan usaha menurunkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Katanya, Ismail juga sebelum ini mendakwa telah membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan sebelum bersama anggota Exco negeri menandatangani dokumen berkaitan pertikaian kedudukan institusi Diraja yang turut dikemukakan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.
"Siapa yang mengarahkan Ismail menandatangani dokumen berkaitan usaha menurunkan Tuanku Muhriz?
"Siapa yang memberikan tekanan sehingga beliau mendakwa terpaksa menandatanganinya? Adakah semua tindakan ini dibuat atas arahan kepimpinan Umno atau keputusan individu?" soalnya.
Sehubungan itu, beliau mendesak Umno memberikan penjelasan mengenai pihak yang bertanggungjawab mengeluarkan arahan dalam setiap episod krisis berkenaan.
Mahfuz turut menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan perkembangan siasatan terhadap laporan polis yang dibuat Ismail.
Katanya, rakyat perlu mengetahui hasil siasatan, termasuk sama ada individu yang didakwa terlibat telah dikenal pasti dan keterangan kepimpinan parti sudah diambil.
"Kertas siasatan telah dikembalikan oleh Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut. Rakyat mahu tahu apakah hasilnya.
"Adakah individu yang didakwa terlibat telah dikenal pasti? Adakah keterangan kepimpinan parti telah diambil? Adakah dakwaan paksaan itu mempunyai asas?" tanyanya.
Dalam pada itu, Mahfuz mengingatkan Umno supaya tidak menjadikan institusi Raja sebagai gelanggang percaturan politik kerana kedudukan Yang di-Pertuan Besar perlu dihormati dan dipelihara.
"Institusi Raja bukan gelanggang percubaan strategi politik. Yang di-Pertuan Besar bukan lawan politik yang boleh diturunkan apabila tidak sesuai dengan percaturan parti.
"Parti politik boleh memberi arahan kepada ahli parti, tetapi parti politik tidak mempunyai kuasa untuk mengatasi Perlembagaan dan institusi Raja Berperlembagaan," katanya.
Beliau berkata, rakyat Negeri Sembilan berhak mendapat penjelasan mengenai pihak yang membuat keputusan dalam krisis berkenaan dan memastikan kerajaan negeri ditadbir berdasarkan tanggungjawab serta mandat yang diberikan.
"Jangan sampai yang memegang jawatan tidak memegang kuasa, yang memegang kuasa tidak memikul tanggungjawab, dan yang memikul tanggungjawab akhirnya menjadi kambing hitam," katanya lagi.




Comments