top of page

Semua sekolah Johor ditutup dua hari susulan jerebu

Writer: Helmi Mohd Foad
Helmi Mohd Foad
12 minutes ago
2 min read

Semua sekolah di seluruh Johor diarahkan tutup selama dua hari mulai esok susulan kemerosotan kualiti udara dan keadaan jerebu yang semakin membimbangkan di negeri paling selatan di Semenanjung itu.


Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Dr Muhammad Naqib Md Ghazali berkata keputusan itu dibuat bagi memastikan keselamatan dan kesihatan murid, selain menjunjung titah Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail.


Beliau berkata, penutupan itu membabitkan semua sekolah di negeri berkenaan pada 8 dan 9 Oktober ini sebagai langkah berjaga-jaga berikutan keadaan jerebu yang berlaku di seluruh daerah.


"Semua sekolah di seluruh negeri Johor akan ditutup selama dua hari pada 8 dan 9 Oktober 2026 sebagai langkah berjaga-jaga demi menjaga keselamatan dan kesihatan murid," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut Muhammad Naqib, sekolah yang terlibat dengan Matriks Pembelajaran Tahun 4 (MPT4) atau mana-mana pentaksiran perlu menangguhkan pelaksanaannya dan menjadualkan semula mengikut ketetapan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) serta pihak berkaitan.


Katanya sepanjang tempoh penutupan sekolah, sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan dilaksanakan bagi memastikan proses pembelajaran murid dapat diteruskan.


Muhammad Naqib turut meminta pertimbangan majikan untuk memberikan fleksibiliti bersesuaian kepada ibu bapa dan penjaga yang terkesan dengan penutupan sekolah termasuk pengaturan kerja yang munasabah mengikut kesesuaian organisasi masing-masing.


"Kerajaan Negeri bersama agensi berkaitan akan terus memantau perkembangan bacaan IPU. Keputusan ini mungkin menuntut sedikit penyesuaian daripada semua pihak, namun dalam keadaan semasa, keselamatan dan kesihatan anak-anak Johor perlu menjadi keutamaan kita bersama," katanya.


Beliau turut menyeru ibu bapa dan penjaga supaya memantau keadaan kesihatan anak-anak, mengurangkan aktiviti di luar rumah, memastikan mereka minum air secukupnya serta mendapatkan rawatan segera sekiranya mengalami gejala seperti batuk, sakit tekak atau sesak nafas.


Langkah penutupan seluruh negeri itu dibuat sehari selepas Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Batu Pahat mengumumkan penutupan sekolah di daerah berkenaan mulai hari ini susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang melebihi 200 iaitu pada kategori sangat tidak sihat.


Semalam sebanyak 335 institusi pendidikan di seluruh Batu Pahat diarahkan tutup membabitkan sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) dan institusi pendidikan lain di daerah berkenaan.


Keputusan terbaharu kerajaan negeri itu kini memperluaskan penutupan sekolah kepada seluruh Johor bagi tempoh dua hari dengan perkembangan bacaan IPU akan terus dipantau oleh kerajaan negeri bersama agensi berkaitan.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page