Selangor wajibkan pusat data guna 30 peratus bekalan tempatan


Kerajaan Negeri Selangor komited memastikan pelaburan teknologi tinggi yang masuk ke negeri itu memberikan manfaat langsung kepada ekonomi negara.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sehubungan itu pusat data yang dibangunkan di Selangor akan diwajibkan mendapatkan sekurang-kurangnya 30 peratus rantaian bekalan, komponen dan perkhidmatan daripada syarikat tempatan.
Menurutnya, dasar itu akan dilaksanakan terhadap pusat data yang bertapak di Selangor dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang, dengan penyertaan syarikat bukan sahaja dari Selangor, malah Johor, Pulau Pinang dan negeri lain.
"Peranan kerajaan adalah menggubal dasar supaya pelaburan dan teknologi yang masuk benar-benar memberikan manfaat langsung kepada rakyat
"Dasar itu bertujuan memastikan pelabur asing tidak membawa masuk keseluruhan rantaian bekalan dari negara asal mereka, sebaliknya turut membuka peluang kepada syarikat tempatan untuk menyertai ekosistem industri berkenaan," katanya dipetik laporan media.
Amirudin sebelumnya menghadiri sesi dialog sempena program iFUTURE 2026 – Special Series bertemakan Towards Futuristic Nation: Leadership, Innovation and Transformation anjuran di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Selasa.
Sementara itu tambahnya, Kerajaan Selangor turut menekankan keperluan pelabur bekerjasama dalam melatih serta meningkatkan kemahiran tenaga kerja tempatan.
Usaha itu bagi memastikan rakyat berupaya merebut peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
"Pembangunan teknologi tidak seharusnya dinilai berdasarkan jumlah pelaburan semata-mata, sebaliknya perlu ambil kira sejauh mana membantu menyelesaikan masalah rakyat dan meningkatkan kualiti kehidupan mereka," tambahnya.




Comments