top of page

Pusat data: Kerajaan Johor perlu dedah penggunaan air industri - Dr Maszlee

Writer: Sidiqin Omar
Sidiqin Omar
4 hours ago
2 min read

Kerajaan Johor digesa mendedahkan unjuran permintaan dan kadar penggunaan air oleh industri berskala besar, khususnya pusat data yang semakin berkembang di negeri itu bagi memastikan keperluan rakyat tidak terjejas.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik berkata, pertumbuhan pesat industri pusat data perlu disertai perancangan sumber air yang telus supaya pembangunan ekonomi tidak menjejaskan kepentingan penduduk.


Menurutnya, pelaburan dalam industri berkenaan sememangnya dialu-alukan, namun kerajaan negeri perlu memastikan keperluan asas rakyat sentiasa diberikan keutamaan.


"Pelaburan ini kita alu-alukan, tetapi ia mesti tunduk kepada satu prinsip, keperluan rakyat didahulukan," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Negeri Johor 2027, baru baru ini.


Beliau berkata, Kerajaan Negeri perlu mendedahkan unjuran permintaan air mengikut daerah serta jumlah penggunaan oleh industri besar, khususnya pusat data, bagi membolehkan rakyat memahami kesan perkembangan sektor berkenaan terhadap sumber air negeri.


Sehubungan itu, Maszlee mencadangkan supaya sumber air, had penggunaan dan pelan kecemasan ketika bekalan mengalami tekanan dijadikan antara syarat kelulusan pembangunan pusat data.


Beliau turut menggesa kerajaan menilai penggunaan air kitar semula di lokasi yang bersesuaian sebagai sebahagian daripada langkah mengurus permintaan air industri.


"Maklumkan kepada rakyat apa yang telah diluluskan dan bagaimana kesannya akan dipantau," katanya.


Maszlee turut mencadangkan supaya kerajaan negeri membentangkan laporan penggunaan air dan tenaga oleh pusat data serta laporan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) tahunan yang diaudit secara bebas di Dewan Negeri.


Menurutnya, ketelusan dalam pengurusan sumber air penting bagi memastikan pertumbuhan industri dan pelaburan di Johor dapat berjalan seiring dengan kepentingan rakyat serta kelestarian sumber semula jadi.


Beliau menegaskan bahawa air merupakan hak asas kehidupan sebelum ia menjadi komoditi industri, justeru pengurusan sumber berkenaan perlu mengambil kira keperluan isi rumah dan kemampuan negeri menghadapi peningkatan permintaan pada masa hadapan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page