Malaysia perlu bersuara bantah penindasan wanita Afghanistan – Venissha


Saya amat terguncang dengan laporan mengenai arahan pihak berkuasa Taliban di wilayah Balkh, Afghanistan, yang dilaporkan melarang penggunaan nama sebenar wanita dalam dokumen rasmi, termasuk rekod perubatan dan preskripsi ubat. - Venissha
Kerajaan Malaysia digesa mengambil pendirian tegas terhadap laporan penindasan wanita di Afghanistan, termasuk dakwaan arahan pihak berkuasa Taliban melarang penggunaan nama sebenar wanita dalam dokumen rasmi, rekod perubatan dan preskripsi ubat.
Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN Johor, Venissha Nirel John Kennedy berkata, perkembangan itu merupakan amaran keras kepada masyarakat antarabangsa supaya tidak membiarkan pencabulan hak wanita berterusan sehingga diinstitusikan melalui undang-undang di negara berkenaan.
Beliau berkata, penindasan terhadap wanita tidak bermula dengan pemadaman nama daripada rekod rasmi, sebaliknya berlaku secara berperingkat apabila diskriminasi dinormalisasikan dan hak wanita mula dipersoalkan.
"Saya amat terguncang dengan laporan mengenai arahan pihak berkuasa Taliban di wilayah Balkh, Afghanistan, yang dilaporkan melarang penggunaan nama sebenar wanita dalam dokumen rasmi, termasuk rekod perubatan dan preskripsi ubat.
"Setelah akses kepada pendidikan, pekerjaan, kebebasan bergerak dan penyertaan dalam kehidupan awam disekat secara berperingkat, kini identiti wanita sendiri menjadi sasaran," katanya dalam kenyataan hari ini.
Venissha yang juga Ketua Biro Wanita Muda dan Perpaduan AMK Johor berkata, beliau mengecam sekeras-kerasnya segala tindakan, dasar dan perundangan yang mencabul hak asasi, kebebasan serta martabat wanita.
Menurutnya, Malaysia tidak seharusnya membiarkan perkembangan di negara berkenaan tanpa bersuara membantah kerana enggan campur hal ehwal dalaman.
"Kita tidak seharusnya menunggu sehingga sesuatu kekejaman mendapat pengiktirafan undang-undang sebelum berani menentangnya.
"Apabila undang-undang yang sepatutnya melindungi manusia digunakan sebagai instrumen penindasan, masyarakat antarabangsa mempunyai tanggungjawab moral untuk bertindak," ujarnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa krisis hak wanita bukan hanya berlaku di Afghanistan, sebaliknya merangkumi pelbagai negara dengan isu keganasan berasaskan gender, perkahwinan kanak-kanak, mutilasi genital wanita (FGM), diskriminasi pekerjaan dan keganasan seksual dalam konflik bersenjata.
Katanya, berdasarkan data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dirujuk, sekitar 840 juta wanita atau hampir satu daripada tiga wanita di dunia pernah mengalami keganasan fizikal atau seksual.
Selain itu, lebih 230 juta wanita dan kanak-kanak perempuan yang masih hidup menjadi mangsa FGM, manakala hampir satu daripada lima kanak-kanak perempuan di dunia dikahwinkan sebelum mencapai usia 18 tahun.
Venissha berkata, Malaysia sebagai negara yang menjunjung prinsip keadilan, kemanusiaan dan kemuliaan insan tidak seharusnya sekadar menjadi pemerhati terhadap perkembangan berkenaan, juga bertoleransi dengan hal yang sama di dalam negara.
"Kita tidak boleh mengecam penindasan wanita di Afghanistan tetapi bertolak ansur dengan wacana yang mempertahankan perkahwinan kanak-kanak, meremehkan keganasan seksual, menormalisasikan diskriminasi gender atau mempertikaikan kelayakan wanita untuk memimpin di Malaysia," katanya.
Nyatakan pendirian rasmi
Sehubungan itu, beliau menggesa Perdana Menteri, Kementerian Luar Negeri serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyatakan pendirian rasmi terhadap laporan pemadaman identiti wanita di Afghanistan serta pencabulan hak wanita yang berterusan.
Beliau turut menggesa Malaysia menggunakan kedudukannya dalam PBB, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) serta saluran diplomatik dua hala untuk menggerakkan tindakan kolektif terhadap pencabulan hak wanita.
Menurutnya, usaha itu perlu melangkaui kenyataan solidariti dengan memperkukuh mekanisme pemantauan, pertanggungjawaban, perlindungan mangsa serta akses kepada bantuan kemanusiaan.
Dalam masa sama, Venissha mendesak Kerajaan Persekutuan dan negeri mempercepat pembaharuan undang-undang yang masih membuka ruang diskriminasi terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan.
Ini termasuk menetapkan usia minimum perkahwinan 18 tahun tanpa pengecualian, memperkukuh perlindungan terhadap keganasan berasaskan gender serta memastikan setiap dasar dan perundangan baharu dinilai berdasarkan kesannya terhadap hak wanita.
Beliau turut menggesa parti politik, termasuk KEADILAN, memperkukuh komitmen terhadap pencalonan, pembangunan dan pengiktirafan kepimpinan wanita, khususnya wanita muda.
"Sasaran minimum 30 peratus representasi wanita tidak seharusnya menjadi titik penamat, tetapi langkah awal menuju kesaksamaan sebenar dalam kepimpinan dan pembuatan keputusan," katanya.
Venissha berkata, sempena Kempen 16 Hari Aktivisme Menentang Keganasan Berasaskan Gender yang bermula 25 November, komitmen terhadap hak wanita tidak seharusnya terhenti pada kempen kesedaran, ucapan solidariti atau sambutan tahunan.
"Dunia memerlukan tindakan. Dunia memerlukan keberanian politik. Dunia memerlukan institusi yang sanggup mempertahankan hak wanita tanpa kompromi," katanya.
Beliau menegaskan perjuangan hak wanita tidak mempunyai sempadan geografi, bangsa, agama atau ideologi politik, dan masyarakat antarabangsa perlu bertindak sebelum penindasan terus berakar dalam sistem pemerintahan serta perundangan.
"Kita tidak boleh membiarkan abad ke-21 menjadi satu lagi lembaran sejarah yang menyaksikan penindasan terhadap wanita berlangsung dengan pengetahuan, toleransi dan sikap berdiam diri masyarakat antarabangsa," katanya lagi.




Comments