top of page

Selangor umum RS-2, sasar nilai ekonomi RM600 bilion menjelang 2030

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
Aug 8
1 min read
DS Amirudin membentangkan RS-2 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.
DS Amirudin membentangkan RS-2 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari pada Jumaat mengumumkan Rancangan Selangor Kedua (RS-2) sebagai kerangka pembangunan negeri untuk tempoh 2026-2030.


Beliau berkata, rancangan itu menggariskan enam misi dalam 25 bidang dengan sasaran nilai ekonomi RM600 bilion sepanjang tempoh berkenaan.


Enam misi yang digariskan menurutnya merangkumi agenda Memacu Kepimpinan Ekonomi Selangor; Pembangunan Seimbang dan Peluang Saksama Merentasi Daerah; Negeri Penyayang dan Berdaya Huni; Modal Insan Produktif dan Inklusif; Negeri Lestari Berdaya Tahan dan Strategik serta Kerajaan Efektif, Mesra Rakyat dan Perniagaan.


Kerajaan negeri turut menggariskan lima sektor yang akan menjadi tumpuan ke arah 2030 iaitu bidang elektrik dan elektronik, aeroangkasa, automotif, ekonomi digital dan ekonomi kreatif.


"Kesemua lima bidang ini disusun secara aktif melalui 13 inisiatif supaya nilai ekonomi dan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) berkembang secara mampan dengan sasaran 6.1 peratus.


"Ini (sekali gus) memperkukuhkan pelaburan terutamanya daripada sumber domestik dengan sasaran RM330 bilion secara keseluruhan menjelang tahun 2030," katanya dipetik semasa membentangkan RS-2 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.


Sementara itu tambahnya, RS-2 turut dirancang untuk mengurangkan kadar pengangguran di Selangor kepada 2.2 peratus dalam tempoh sama.


"Menjelang 2030, Selangor akan menjadi hab industri maju dan inovasi. Peningkatan produktiviti melalui automasi akan memastikan daya saing kos dan pertumbuhan upah mampan.


"Sokongan strategik kepada syarikat tempatan akan memperdalam hubungan rantaian bekalan, mempelbagaikan pengeluaran bernilai tinggi dan mengurangkan kebergantungan import sekali gus mengekalkan pertumbuhan ekonomi kukuh," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page