Selangor sedia kerjasama dengan KDN, UNHCR tangani isu pelarian


Kerajaan Selangor akan memperkemas pengurusan pelarian dan pemohon suaka di negeri itu menerusi pendataan, pemantauan serta kerjasama lebih rapat dengan Kerajaan Persekutuan dan agensi berkaitan.
Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad berkata, langkah itu bagi menyokong usaha penghantaran pulang warga Myanmar yang sedang dilaksanakan Kerajaan Persekutuan.
"Isu ini sebenarnya sangat dekat dengan realiti di Selangor. Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, saya turut memberikan perhatian khusus kepada keadaan di sekitar Batang Kali.
"Daripada pemerhatian di lapangan, saya percaya cabarannya mungkin lebih serius di kawasan berkepadatan tinggi seperti Selayang serta beberapa lokasi lain," katanya menerusi kenyataan media.
Kenyataan itu menyusul penegasan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat semalam berhubung penyelesaian awal penghantaran pulang lebih 10,000 warga Myanmar sejak Januari lalu hasil rundingan dengan kerajaan negara berkenaan.
Saifuddin sementara itu berkata, berdasarkan rekod UNHCR setakat akhir Februari 2026, terdapat kira-kira 215,600 pelarian dan pemohon suaka berdaftar di Malaysia, termasuk 126,144 etnik Rohingya.
Selangor jelasnya memerlukan data khusus mengenai jumlah, taburan dan keadaan sebenar pelarian serta pemohon suaka di negeri itu bagi membolehkan tindakan lebih tersusun diambil.
"Angka sebesar ini menuntut pengurusan yang lebih tersusun. penyelesaian isu Rohingya memerlukan rundingan berterusan, pendekatan kemanusiaan dan kerjasama antara kerajaan serta agensi berkaitan.
"Status dan penggunaan kad UNHCR juga perlu diperjelaskan bagi mengelakkan salah guna atau salah tafsir mengenai kedudukan seseorang di sisi undang-undang.
"Kerajaan Negeri Selangor bersedia bekerjasama rapat dengan Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Imigresen, PBT, UNHCR serta agensi berkaitan untuk memperkemaskan pendataan, pemantauan dan koordinasi di lapangan," jelasnya.
Menerusi kenyataan tersebut beliau turut berkata, Kemanusiaan tidak boleh menjadi alasan untuk mengabaikan undang-undang, manakala penguatkuasaan tidak seharusnya dilaksanakan tanpa pengawasan.




Comments