Ahli Majlis MBK sumbang buku rujukan kepada murid di SK Kempadang


Seramai 20 murid daripada keluarga miskin di Sekolah Kebangsaan (SK) Kempadang, Kuantan di bawah DUN Tanjung Lumpur Parlimen Kuantan telah menerima sumbangan buku-buku rujukan dan latihan mata pelajaran teras dalam satu program kebajikan yang diadakan baru-baru ini.
Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Ahli Majlis Bandaraya Kuantan, Fakhrul Anuar Zulkawi. Program ini dilaksanakan dengan kerjasama NGO Insaf Malaysia dan merupakan siri program kebajikan berkala bagi menyantuni keluarga-keluarga miskin di dalam Parlimen Kuantan.

Program ini turut disertai Pegawai Penyelaras Insaf Malaysia Cawangan Pahang, Ainin Sofia Jahuri yang bersama-sama menjayakan penyerahan bantuan tersebut.
Menurut Fakhrul Anuar, bantuan buku rujukan ini bertujuan membantu murid-murid mengulangkaji mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains ketika di rumah.
"Selain penyerahan buku, kita akan membuat siri lawatan dari rumah ke rumah kepada setiap penerima bagi membantu dan memantau perkembangan murid-murid ini dalam menggunakan buku rujukan dan latih tubi di rumah," katanya.
Tambah beliau, pihaknya juga akan mengadakan kelas-kelas tuisyen percuma di Pusat Khidmat Rakyat KEADILAN DUN Tanjung Lumpur bagi mengukuhkan lagi penguasaan murid-murid terpilih terhadap subjek-subjek berkenaan.
Sementara itu, Guru Besar SK Kempadang dalam ucapannya merakamkan penghargaan dan berharap usaha sebegini dapat membantu murid-murid terpilih belajar dengan lebih tekun. Sehingga kini sekolah ini beroperasi secara dua sesi iaitu sesi persekolahan pagi dan petang bagi menampung sekitar 1600 orang murid daripada penduduk sekitar Tanjung Lumpur dan Kempadang.
Majlis penyerahan tersebut turut dihadiri Pengerusi NGO Wanita Inspirasi Kuantan, Sridayu Samsuri yang bersama membantu usaha-usaha kebajikan ini.




Comments