top of page

Jumlah NADI meningkat 20.6%, 1,099 pusat digital komuniti beroperasi

Writer: Noraini Nordin
Noraini Nordin
31 minutes ago
1 min read
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil

Jumlah Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di seluruh negara meningkat sebanyak 20.6 peratus kepada 1,099 pusat tahun ini berbanding 911 Pusat Ekonomi Digital (PEDi) pada 2022, sekali gus memperluas akses kemudahan digital kepada masyarakat.


Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, pertambahan sebanyak 188 pusat dalam tempoh empat tahun itu membuka lebih banyak peluang kepada rakyat untuk mendapatkan akses digital, mengikuti latihan kemahiran serta meneroka bidang keusahawanan.


Menerusi perkongsian di media sosial pada 27 November, Fahmi berkata peluasan rangkaian NADI membolehkan akses digital, latihan kemahiran dan peluang ekonomi semakin dekat dengan komuniti setempat.


NADI sebelum ini dikenali sebagai Pusat Ekonomi Digital (PEDi) sebelum dijenamakan semula pada 2024.


Inisiatif berkenaan merupakan antara usaha utama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di bawah Program Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) bagi memperluas akses digital serta merapatkan jurang teknologi antara masyarakat bandar dan luar bandar.


Selain menyediakan kemudahan akses internet, NADI berperanan sebagai pusat pembangunan komuniti yang memberi peluang kepada masyarakat meningkatkan kemahiran digital dan pengetahuan teknologi.


Kemudahan ini turut membuka ruang kepada golongan belia, pelajar, warga emas serta usahawan kecil untuk memanfaatkan teknologi dalam pembelajaran, urusan harian dan pengembangan perniagaan.


Bagi usahawan mikro dan peniaga kecil, kemahiran digital boleh dimanfaatkan untuk memperluas pemasaran produk, menjalankan urusan jual beli dalam talian serta meningkatkan keupayaan bersaing dalam ekonomi digital.


Pertambahan kepada 1,099 pusat itu memperlihatkan peluasan infrastruktur sokongan digital di peringkat komuniti, selaras dengan usaha kerajaan memperkukuh keterangkuman digital dan memastikan lebih ramai rakyat mendapat manfaat daripada perkembangan teknologi.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page