Selangor salur RM274 juta naik taraf kemudahan sekolah sejak 2009


Sebanyak RM274 juta sudah disalurkan Kerajaan Selangor bagi membiayai kerja pembaikan infrastruktur dan menaik taraf kemudahan sekolah sejak 2009.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, peruntukan menerusi Program Bantuan Sekolah Selangor itu merupakan komitmen menyokong institusi pendidikan, khususnya sekolah agama, menerusi bantuan kewangan dan penambahbaikan infrastruktur secara berterusan.
Berucap pada majlis penyerahan bantuan tersebut di Shah Alam semalam, Amirudin turut memaklumkan bahawa inisiatif tersebut akan diteruskan bagi tahun- tahun akan datang.
"Kita sedang berusaha mempercepat proses ini. Kita berharap usaha ini membuka jalan (kepada peluang pendidikan lebih baik untuk pelajar).
"Kita berharap ia bukan sahaja diteruskan, malah diperkukuh bagi memastikan keberkesanannya dalam jangka panjang," katanya dipetik laporan media.
Amirudin berkata bagi tahun ini, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM11 juta untuk kerja penyelenggaraan dan menaik taraf infrastruktur 380 sekolah agama bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), meningkat berbanding RM9 juta tahun lalu.
Peruntukan dengan jumlah sama turut disediakan bagi tahun depan menerusi Belanjawan Selangor 2027.
"Pendidikan adalah antara tonggak utama yang perlu kita bangunkan dan kita tidak boleh membiarkan institusi pendidikan agama ketinggalan.
"Kerajaan Negeri akan terus menyokong pendidikan agama menerusi pelbagai inisiatif termasuk bantuan infrastruktur, latihan guru serta usaha membolehkan pelajar tahfiz memperoleh Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)," katanya.




Comments