Kebencian politik jangan atasi kepentingan negara - Mahfuz


Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar mengingatkan rakyat Malaysia supaya tidak terus membiarkan kebencian politik mengatasi kepentingan negara.
Menurutnya, perbezaan fahaman politik tidak seharusnya menjadi alasan untuk menafikan segala usaha serta pencapaian yang membawa manfaat kepada negara khususnya pada dalam tempoh empat tahun pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Memang benar, belum semua masalah rakyat dapat diselesaikan. Kos sara hidup masih membebankan, pendapatan sebahagian rakyat masih rendah tetapi kerajaan sentiasa membantu dengan pelbagai insentif,peluang ekonomi perlu diperluaskan dan usaha membanteras rasuah mesti diteruskan dengan lebih tegas.
"Kita tidak boleh menutup mata terhadap kelemahan. Kerajaan mesti terus ditegur, dikritik dan dipertanggungjawabkan. Namun, dalam kita menilai kekurangan, jangan pula kita menafikan segala usaha dan pencapaian yang telah dibina.
"Jangan kerana kita tidak menyukai seseorang pemimpin, kita hilang kemampuan untuk mengakui perkara baik yang berlaku kepada negara," katanya dalam kenyataan sempena ulang tahun keempat pentadbiran Kerajaan MADANI.
Mahfuz turut berkata, persaingan politik tidak seharusnya membawa kepada tindakan menggugat kestabilan negara atau merosakkan keyakinan pelabur.
Pertukaran kerajaan dan Perdana Menteri merupakan sebahagian daripada proses demokrasi, tetapi kepentingan negara tidak boleh dijadikan mangsa perebutan kuasa.
Beliau turut menyatakan kebimbangan terhadap kecenderungan menjadikan sentimen kaum dan agama sebagai senjata dan perisai untuk melindungi kepentingan politik pihak tertentu.
"Orang Melayu ditakutkan dengan kehilangan kuasa, manakala umat Islam pula dimomokkan dengan ancaman terhadap agama.
"Kita boleh mempertahankan kepentingan Melayu tanpa menghina kaum lain. Kita boleh mempertahankan Islam tanpa menanam kebencian terhadap agama lain," tambahnya.
Justeru Mahfuz menggesa rakyat menilai prestasi kerajaan berdasarkan hasil kerja dan bukannya semata-mata sentimen kepartian.
Antara aspek yang perlu diberikan perhatian ialah pertumbuhan ekonomi, peluang pekerjaan, peningkatan pendapatan, pendidikan, kesihatan, integriti, pembangunan luar bandar dan keadilan sosial.
"Jika kerajaan melakukan kebaikan, akuilah. Jika kerajaan melakukan kesilapan, tegurlah. Jika berlaku penyelewengan, tuntut tindakan.
"Jangan berikan kerajaan cek kosong, tetapi jangan juga menolak segala-galanya tanpa penilaian yang adil. Rakyat bukan penyokong membuta tuli. Rakyat ialah pemilik sebenar negara," katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa negara tidak seharusnya mewariskan kebencian antara kaum dan agama kepada anak-anak hanya kerana perbezaan pandangan politik pada hari ini.




Comments