Seludup dadah guna aset tentera khianat kepada negara - PM


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan penyalahgunaan jentera dan aset kerajaan bagi menyeludup dadah sebagai satu pengkhianatan dan ancaman besar kepada keselamatan negara.
Menurutnya, isu penyeludupan dadah menggunakan pesawat tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) seperti didedahkan sebelum ini bukan perkara baharu dan mendapat perhatian serius dari pihak kerajaan.
"Mana mungkin kita izinkan benteng pertahanan kita bocor dan dipergunakan oleh orang yang tidak bertanggungjawab? Ini khianat kepada negara dan bahayanya besar," katanya dipetik laporan media.
Sementara itu menurutnya, ketirisan yang berlaku adalah bersifat sistemik kerana dipercayai sudah berlarutan selama puluhan tahun.
Ia jelasnya turut membabitkan unsur persekongkolan dengan kalangan tertentu, termasuk menjejaskan kawalan sempadan dan agensi seperti kastam.
"Kita bagi amaran, kita tangkap. Tapi nampaknya ini yang saya sebut dalam dialog bahawa ini sistemik.
"Benda ni berlaku dah puluhan tahun dan diizinkan kadang-kadang bersekongkol dengan kalangan tertentu," ujarnya.
Menurutnya, walaupun pendirian tegas Kerajaan MADANI mungkin mengundang rasa tidak puas hati sebahagian pihak, beliau tidak akan bertolak ansur selagi memikul tugas dan amanah terbabit.
Justeru, semua agensi penguatkuasaan diarahkan agar tidak memandang isu berkenaan sebagai kes terpencil dan perlum engambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap sebarang kegiatan penyeludupan dadah atau penyalahgunaan aset kerajaan.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan sebanyak tiga tan dadah disyaki jenis methamphetamine (syabu) bernilai RM156 juta dikenal pasti telah diseludup keluar melalui dua pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Sabah dan Labuan sejak Ogos 2024.
Kegiatan itu dikesan menerusi risikan berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM), yang mengenal pasti 21 transaksi penyeludupan dadah dilakukan melalui kedua-dua pangkalan berkenaan.




Comments