PM minta Menteri pengangkutan, Anthony Loke minta sambung tugas


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau sukar menerima cadangan peletakan jawatan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, meskipun menghormati alasan yang dikemukakan Setiausaha Agung DAP itu.
Anwar berkata, beliau telah meminta Loke yang masih bercuti supaya kembali bertugas secepat mungkin kerana Kementerian Pengangkutan merupakan kementerian besar dan strategik yang memainkan peranan penting dalam kehidupan rakyat.
"Dia bercuti dan saya telah minta dia sambung kerja secepat mungkin. Saya bagi masa untuk dia berfikir kerana Kementerian Pengangkutan antara kementerian yang besar dan strategik.
"Ia menghubungkan rakyat dari segi perhubungan, pengangkutan, semua prasarana penting itu terkait dengan Kementerian Pengangkutan. Udara, laut, jalan raya," katanya ketika berucap pada majlis perasmian program Yakin MADANI: Memaknai Harapan Rakyat di Kompleks Belia dan Sukan, Paroi, Negeri Sembilan.
Menurut Anwar, prestasi Loke sepanjang menerajui kementerian berkenaan adalah baik dan membanggakan, maka kerana itu khidmatnya amat diperlukan.
"Jadi prestasi beliau baik, membanggakan. Sebab itu saya selaku PM sukar menerima cadangan beliau untuk meletak jawatan, walaupun alasan beliau saya hormat, saya faham.
"Tetapi saya katakan alasan apa pun tidak boleh mengatasi peranan kita untuk mengabdi kepada rakyat dan negara," katanya.
Anwar turut menegaskan bahawa sebarang pergolakan politik di Negeri Sembilan tidak seharusnya menjejaskan kepentingan rakyat, termasuk pelaksanaan program yang melibatkan kerajaan negeri dan Kementerian Pengangkutan.
Katanya, beliau memilih untuk meneruskan program berkenaan meskipun wujud ketegangan politik kerana kepentingan rakyat perlu diutamakan.
"Sebab itu saya memilih untuk memberitahu Kementerian Pengangkutan dan kerajaan negeri supaya jangan menangguhkan program ini.
"Apa pun ketegangan di atas jangan korbankan kepentingan rakyat. Sebab itu saya teruskan," katanya.




Comments