top of page

Selangor-Sabah perkukuh sekuriti makanan, jalin kerjasama strategik

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 day ago
  • 1 min read
DS Amirudin (berbaju merah) menerima kunjungan Datuk Jamawi (dua dari kanan) ke pejabatnya
DS Amirudin (berbaju merah) menerima kunjungan Datuk Jamawi (dua dari kanan) ke pejabatnya

Oleh: Azuan Ab Rahman


Kerajaan Negeri Selangor komited memperkukuh usaha memastikan bekalan makanan, khususnya untuk rakyat negeri itu terus terjamin dan stabil.


Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) memaklumkan, komitmen berkenaan dilaksanakan menerusi pelbagai inisiatif strategik termasuk kerjasama rentas negeri.


"Baru-baru ini PKPS mengadakan pertemuan bersama Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) Sabah bagi meneroka potensi kerjasama dalam hal sekuriti makanan.


"Kunjungan itu diketuai Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari dan disambut Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar," kata PKPS menerusi kenyataan di Facebook.


Kunjungan turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS, Datuk Wira Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi bersama delegasi pengurusan kanan PKPS.


Sementara itu menurut PKPS, pertemuan disusuli perbincangan merangkumi aspek pengukuhan rantaian bekalan makanan, inovasi sektor agro-makanan serta perkongsian kepakaran serta inisiatif bersama antara Selangor dan Sabah.


"Kerjasama strategik seumpama ini penting bagi meningkatkan daya tahan sistem agro-makanan, menjana nilai ekonomi serta memastikan rakyat terus mendapat akses kepada bekalan makanan mencukupi, khususnya dalam situasi ketidaktentuan global," tambah kenyataan itu.


PKPS pada Januari lalu melancarkan Pelan Transformasi Agribisnis 2026–2030 (SEED 2030) sebagai strategi jangka panjang memperkukuh sekuriti dan akses makanan.


Pelan lima tahun itu merangkumi sektor perladangan, ternakan, tenusu, peruncitan serta pasaran antarabangsa, dan selari dengan Dasar Agromakanan Negara serta Pelan Transformasi Agro Selangor (PeTA) yang bertujuan memperkukuh daya tahan dan kebajikan rakyat Selangor.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page