Guna baki penggal Kerajaan MADANI lengkapkan reformasi institusi


Parti Amanah Negara (AMANAH) mahu baki tempoh Kerajaan MADANI dimanfaatkan sepenuhnya untuk melaksanakan reformasi institusi sehingga diterjemahkan dalam bentuk undang-undang, perubahan sistem dan amalan pentadbiran.
Ketua Wanita Amanah Nasional (AWAN), Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, parti itu tidak mahu terperangkap dalam ketidaktentuan politik semasa, sebaliknya mahu ruang yang masih ada dalam kerajaan digunakan untuk meninggalkan legasi pembaharuan yang kukuh.
"Kita tidak perlu meninggalkan kerajaan untuk mempertahankan prinsip. Tetapi kita juga tidak boleh mempertahankan kerajaan sehingga meninggalkan prinsip," katanya ketika merasmikan Konvensyen AWAN Negeri Selangor hari ini.
Beliau berkata pendirian itu menjadi semakin penting susulan perkembangan politik mutakhir, termasuk keputusan pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak serta tawaran Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan.
Loke menawarkan peletakan jawatan itu pada 19 September sebagai respons DAP terhadap isu pengampunan bersyarat Najib, namun menteri dan timbalan menteri DAP lain kekal dalam kerajaan bagi memastikan kestabilan politik.
Aiman berkata AMANAH menghormati institusi Raja Berperlembagaan serta kuasa pengampunan yang diperuntukkan Perlembagaan, namun perkara itu tidak seharusnya melemahkan komitmen terhadap kedaulatan undang-undang, integriti, akauntabiliti dan reformasi institusi.

Beliau berkata AMANAH berada dalam kerajaan bukan semata-mata untuk mempertahankan jawatan, sebaliknya kerana menerima amanah rakyat untuk membetulkan perkara yang rosak, memperkukuh sistem yang lemah dan membina pentadbiran lebih baik.
Dalam pada itu, beliau menegaskan reformasi institusi perlu diterjemahkan kepada perubahan yang dapat dirasai secara langsung oleh rakyat.
"Reformasi tidak boleh berhenti sebagai manifesto, janji pilihanraya atau wacana di pentas politik. Ia mesti menjadi undang undang, menjadi intitusi, menjadi amalan pentadbiran dan akhirnya menjadi budaya negara," katanya.
Menurut Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu, agenda reformasi perlu bergerak seiring dengan usaha menangani isu kos sara hidup, penyediaan perumahan mampu milik, pendidikan, kesihatan, pekerjaan dan mobiliti sosial.
Katanya, baki tempoh pemerintahan Kerajaan MADANI tidak wajar dihabiskan dengan politik yang hanya bertindak balas terhadap setiap krisis, sebaliknya perlu digunakan bagi memastikan reformasi yang telah dimulakan menghasilkan perubahan yang berkekalan.
Sehubungah itu, Aiman berkata AMANAH perlu mempunyai keberanian dan kebijaksanaan untuk menggunakan ruang dalam kerajaan bagi memperbaiki sistem dari dalam, sambil memastikan prinsip parti terus menjadi panduan.
Turut hadir Timbalan Pengerusi AMANAH Negeri Selangor, YB Azly Yusof; Setiausaha AMANAH Selangor, Ar Kamarul; Ketua AMANAH Kawasan Sepang, Hazimun Abdul Rahman; serta beberapa tetamu daripada parti komponen Pakatan Harapan Selangor.




Comments