CSA Dajal: Percanggahan membimbangkan dalam wacana politik


Perbezaan pandangan politik, termasuk berhubung Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) merupakan perkara lumrah dalam amalan demokrasi, namun mengaitkannya dengan label keagamaan boleh mengheret kepada polemik yang menjurus kepada politik sempit.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN, Syed Ibrahim Syed Noh menegaskan, agama tidak boleh sesekali dijadikan perisai digunakan untuk melindungi sekutu politik atau senjata untuk menyerang pihak lawan.
"Kenyataan terbaharu Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menggunakan istilah ‘Dajal’ ketika mengkritik CSA menggambarkan percanggahan yang membimbangkan dalam wacana politik negara.
"Mudah untuk mengecam orang lain atas nama agama, namun ujian yang lebih besar adalah sama ada kita bersedia mempertahankan prinsip yang sama apabila prinsip tersebut mencabar kepentingan politik kita sendiri.
"Keadilan tidak boleh bergantung kepada siapa yang kita sokong dan kebenaran juga tidak boleh bergantung kepada siapa yang kita tentang," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Syed Ibrahim yang juga Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), penggunaan bahasa agama untuk menghukum pihak lawan politik perlu disusuli penilaian, sama ada piawaian moral yang sama turut diterapkan secara konsisten, khususnya dalam menangani isu rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pengkhianatan terhadap amanah rakyat.
Guna ketegasan sama dalam isu rasuah
Katanya, Malaysia telah menyaksikan kesan daripada kegagalan sedemikian menerusi skandal SRC International dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Ujar Syed Ibrahim lagi, sabitan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam kes SRC International kekal menjadi peringatan jelas bahawa jawatan awam merupakan satu amanah yang tidak boleh diletakkan mengatasi akauntabiliti dan kedaulatan undang-undang.
"Begitu juga, kebimbangan berhubung tadbir urus Lembaga Tabung Haji, sebuah institusi yang diamanahkan untuk mengurus simpanan dan aspirasi umat Islam di Malaysia yang menuntut ketelusan, akauntabiliti dan proses sewajarnya, bukannya kemarahan politik yang hanya ditunjukkan secara terpilih.
"Abdul Hadi perlu menyedari bahawa penggunaan kewibawaan moral agama untuk mengecam pihak lawan dalam politik turut menuntut ketegasan moral yang sama ketika berhadapan dengan rasuah dan pengkhianatan terhadap amanah rakyat, tanpa mengira siapa yang terlibat.
"Kita tidak boleh menuntut akauntabiliti daripada pihak lawan politik sedangkan pada masa yang sama memilih untuk berdiam diri apabila prinsip yang sama diuji dalam kalangan sekutu politik sendiri," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Ledang.
Dalam catatan minda Presiden Pas pada 3 November lalu, Hj Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang antaranya menyifatkan CSA adalah pendekatan 'Dajal' pada akhir zaman yang menjadikan kuasa bukan lagi suatu amanah yang wajib ditunaikan kepada semua, tetapi memaksa untuk terus berkuasa.
"Walaupun tidak berlagak menjadi Tuhan laksana Dajal yang besar, tetapi tetap melaksanakan sifat-sifat Dajal," tulis Haji Hadi di platform media sosialnya.




Comments