Lebih 50,000 penduduk dapat manfaat projek tebatan banjir Kerajaan Madani di Melaka



Lebih 50,000 penduduk di Melaka dijangka mendapat manfaat perlindungan daripada risiko banjir menerusi pelaksanaan lapan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) bernilai keseluruhan RM1.46 bilion yang diluluskan Kerajaan Persekutuan bagi tempoh 2021 hingga 2026.
Inisiatif menerusi kerjasama Kerajaan Persekutuan, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) serta Kerajaan Negeri Melaka itu bertujuan meningkatkan keupayaan infrastruktur saliran, mengawal aliran sungai dan mengurangkan impak banjir terhadap kawasan berisiko.
Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Melaka, Mohd Adnan Ahmad Fauzi dipetik berkata, daripada lapan projek berkenaan, enam sedang dalam pelaksanaan manakala dua lagi berada pada peringkat prapelaksanaan dan reka bentuk.
Enam projek yang sedang dilaksanakan merangkumi RTB Alor Gajah Fasa 1, RTB Bandar Jasin, RTB Bandar Merlimau, RTB Sungai Putat, RTB Sungai Duyong serta projek menaik taraf Kolam Tebatan Banjir Krubong-Durian Tunggal sebagai kolam dwifungsi untuk tebatan banjir dan sumber air negeri.
Lima daripada enam projek itu dijangka siap sepenuhnya pada suku keempat 2027, manakala satu lagi disasarkan siap pada 2030.
Sementara itu, dua projek yang masih dalam peringkat reka bentuk ialah RTB Sungai Melaka Fasa 1 dan RTB Sungai Baru di Alor Gajah.
Menurut JPS Melaka, data pemantauan Unit Hidrologi JPS Melaka dan Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) menunjukkan jumlah titik panas banjir di negeri itu menurun daripada 157 lokasi pada 2021 kepada 106 lokasi pada 2025.
Keberkesanan projek tebatan banjir dinilai berdasarkan beberapa faktor termasuk kekerapan kejadian banjir, tempoh dan kedalaman air, keluasan kawasan terjejas serta taburan hujan.
Pendekatan mitigasi banjir di Melaka juga kini diperluas melalui pengurusan lembangan sungai secara bersepadu, bermula dari kawasan tadahan di hulu hingga ke muara sungai.
Selain menaik taraf sungai dan sistem saliran, langkah lain termasuk pembinaan kolam takungan banjir serta penggunaan rumah pam yang lebih efisien.
RTB Sungai Rambai selesai masalah Paya Rumput
Dalam perkembangan terbaharu, Kerajaan MADANI turut mengumumkan Projek Pemulihan Sungai dan Rancangan Tebatan Banjir Sungai Rambai di daerah Jasin menerusi pembentangan Belanjawan 2027.
Projek yang dianggarkan bernilai hampir RM300 juta itu bertujuan mengurangkan risiko banjir di kawasan berkenaan melalui usaha pemulihan sungai dan pelaksanaan langkah tebatan banjir.
Sekiranya projek berkenaan siap maka masalah banjir di DUN Paya Rumput akan dapat diatasi
Selain itu, RTB Sungai Ayer Salak di daerah Melaka Tengah yang dianggarkan bernilai RM154 juta turut dicadangkan di bawah Rolling Plan 2 Tahun 2027, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Kajian Kemungkinan RTB Bukit Rambai bernilai RM250,000 pula sedang dilaksanakan bagi mengenal pasti penyelesaian teknikal yang sesuai sebelum cadangan pelaksanaan projek fizikal dipertimbangkan.
JPS turut mengambil kira perubahan iklim dan kemungkinan kejadian hujan lebih ekstrem pada masa hadapan dalam perancangan serta reka bentuk projek RTB berdasarkan data hidrologi, rekod hujan dan unjuran perubahan iklim.
Bagaimanapun, projek tebatan banjir tidak menjamin kejadian banjir dapat dielakkan sepenuhnya, khususnya apabila berlaku hujan luar biasa yang melebihi kapasiti reka bentuk sistem saliran dan sungai.
Sehubungan itu, penggunaan teknologi digital dan data masa nyata turut diperkukuh melalui sistem ramalan banjir, pemantauan aras sungai secara dalam talian serta data hujan automatik bagi membolehkan amaran awal dan tindakan segera dilaksanakan.
Pelaksanaan keseluruhan inisiatif berkenaan mencerminkan usaha berterusan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam memperkukuh daya tahan infrastruktur serta melindungi keselamatan penduduk, khususnya mereka yang menetap di kawasan berisiko banjir di Melaka.




Comments