Banjir: RTB Sungai Damansara RM481 juta sedang dilaksana - Azli


Beberapa kawasan yang dilanda banjir kilat di sekitar Shah Alam dan Subang sejak kebelakangan ini sebenarnya terletak dalam jajaran pelaksanaan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Damansara bernilai kira-kira RM481 juta.
Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof (gambar) berkata projek yang dijangka siap menjelang 2031 itu bertujuan menangani masalah banjir kilat dan limpahan sungai yang kerap menjejaskan kawasan berisiko tinggi di sepanjang lembangan Sungai Damansara.
Antara kawasan yang terjejas termasuk Kampung Melayu Subang, laluan Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) berhampiran Persimpangan Tol Shah Alam serta Seksyen 13 Shah Alam.
Menurut beliau, jajaran projek RTB Sungai Damansara turut meliputi kawasan TTDI Jaya dan Bukit Jelutong selain kawasan sekitar Batu Tiga yang menerima manfaat menerusi komponen tebatan di sepanjang anak sungai berkenaan.
"Projek ini merangkumi keseluruhan jajaran Sungai Damansara termasuk Kampung Melayu Subang yang dikenal pasti sebagai sebahagian daripada kawasan pelaksanaannya.
"Kawasan kritikal yang kerap terjejas seperti Jalan Merbau, Jalan Tembusu dan Jalan PKNS turut menjadi tumpuan kerja-kerja mitigasi awal," katanya menerusi hantaran di media sosial.
Azli berkata antara komponen projek berkenaan ialah kerja-kerja tebatan di anak Sungai Damansara yang turut menangani masalah banjir kilat di sempadan Subang dan Shah Alam termasuk sekitar Stesen Komuter Batu Tiga serta kawasan kediaman berhampiran.
Projek itu merangkumi pembinaan struktur tebatan berskala besar seperti tembok banjir, kolam takungan, rumah pam berkuasa tinggi serta kerja-kerja mendalamkan sungai.
Pelaksanaannya dilakukan secara berperingkat dari kawasan hulu Sungai Damansara merentasi daerah Petaling dan Shah Alam bagi memastikan perlindungan banjir yang lebih menyeluruh.
Mengulas kejadian banjir kilat yang masih berlaku ketika projek utama belum disiapkan, Azli berkata kerajaan perlu memberi perhatian kepada langkah mitigasi sementara khususnya di kawasan titik panas yang dikenal pasti semakin berisiko.
Beliau berharap pelaksanaan RTB Sungai Damansara tidak mengalami sebarang kelewatan selain meminta kerajaan menilai semula keperluan langkah interim dan penyelesaian segera atau quick wins bagi mengurangkan kesan banjir kepada penduduk.
"Pokoknya kerajaan tidak berdiam diri atau hanya reaktif terhadap kejadian yang berlaku.
"Masalah telah dikenal pasti, peruntukan telah disediakan dan penyelesaian menyeluruh telah direncanakan," ujarnya.
Jelas Azli, sebahagian rancangan tebatan banjir jangka pendek dan quick wins telah disempurnakan manakala penyelesaian jangka panjang sedang dilaksanakan.
"Saya akan terus membangkitkannya di Parlimen seperti yang saya lakukan sebelum ini.
"Selain turut mengadakan libat urus dan menyusuli perkembangan terkini dengan kerajaan negeri dan agensi yang berkenaan dari semasa ke semasa," jelas beliau lagi.




Comments