top of page

Reformasi segera: Perubahan dilakukan penuh hikmah, bijaksana, sabar – Anwar

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
50 minutes ago
2 min read
DS Anwar berucap disaksikan Otai Reformis dari seluruh negara mengenang detik 20 Sept, 28 tahun lalu
DS Anwar berucap disaksikan Otai Reformis dari seluruh negara mengenang detik 20 Sept, 28 tahun lalu

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa semua pihak yang mendukung agenda Reformasi supaya menerima perubahan secara berhikmah, bijaksana dan sabar bagi mengelakkan kestabilan negara terjejas.


Beliau sedar reformasi perlu dilaksanakan ketika kerajaan mempunyai kuasa, bukannya hanya diperjuangkan selepas seseorang pemimpin tidak lagi berada dalam kerajaan.


"Saya pesan. Gesa, desak pimpinan (buat perubahan) tak ada masalah... termasuk saya, buat perubahan sedaya upaya.


"(Reformis) jadi sebahagian kekuatan yang membina, bukan kekuatan yang merobohkan," katanya dalam Majlis Hi-Tea Reunion Perintis Reformis ‘Memperkasa Perjuangan, Mengenang Jasa’ di Selangor International Trade Centre (SITC), Shah Alam, petang tadi.


Bagaimanapun, kata Anwar, perjuangan reformasi ketika ini berdepan tembok penghalang yang kukuh, khususnya budaya rasuah, keangkuhan dan kemewahan yang sudah sebati dalam sesetengah kelompok.


"Kita bawa idea reform maknanya memecahkan tembok penghalang perubahan. Tembok itu kukuh, orang yang sudah biasa dengan budaya rasuah, biasa dengan keangkuhan, kemewahan. Untuk meninggalkan itu satu kesukaran," katanya.


Dalam pada itu, Anwar mengingatkan bahawa perubahan yang terlalu tergesa-gesa tanpa mengambil kira kestabilan politik boleh membawa kesan lebih besar kepada negara.


Beliau berkata terdapat pihak yang mahu reformasi dilakukan segera sehingga merisikokan kerajaan, sedangkan perubahan perlu dilaksanakan secara berhati-hati dan mengambil kira keadaan masyarakat majmuk.


Beliau turut memberi contoh reformasi segera tanpa strategi teratur menyebabkan negara seperti Czechoslovakia terbelah dua, Yugoslavia pula kerana hasutan perkauman pecah tiga; Sudan, pecah jadi selatan Sudan.


Anwar berkata, usaha membanteras rasuah turut memerlukan perubahan pemikiran masyarakat kerana masih terdapat pihak yang menyokong atau mengagungkan individu yang terlibat dalam rasuah.


"Rakyat mahu banteras rasuah tetapi yang menyokong rasuah pun ramai. Yang bangga dengan perasuah ramai, yang cium tangan perasuah pun ok.


"Jadi tanggungjawab kita memberi kesedaran dan pencerahan," katanya.


Dalam perkembangan sama, Anwar turut merakamkan penghargaan kepada mereka yang menyokong perjuangan Reformasi sejak sekian lama, termasuk mereka yang merasakan diri tersisih atau tidak diberi perhatian.


"Tentunya saya terhutang budi. Tanpa semangat dari saudara saudari saya tidak mungkin berdiri di sini sebagai PM, saya insaf," ujarnya.


Beliau turut mengakui terdapat penyokong yang berasa terkilan, tersisih, merajuk atau terpinggir sepanjang perjalanan perjuangan.


"Mereka ini tidak terukir dalam sejarah tetapi mereka adalah khazanah kita yang amat berharga."


Justeru, Anwar menyeru pendukung Reformasi supaya tidak berasa letih dan terus menghimpunkan kekuatan bagi memastikan agenda perubahan dapat diteruskan.


"Liku-liku perjuangan itu masih menghadapi kegetiran. Jangan merasa letih. Terusik sedikit merajuk banyak. Jadi kita himpunkan, pesan pada anak-anak kita, sahabat handai, jiran, rakan taulan, kita harus bina kekuatan," katanya.


Selain itu Presiden KEADILAN itu juga mempersoalkan pihak yang ketika bersama dalam kerajaan dan parti tidak sebegitu lantang mahukan perubahan segera, tetapi menjadi hero baharu pada waktu ini menuntut perubahan.


"Saya tegaskan kita mewakili roh reformasi. Itu satu pihak. Di satu pihak lain yang ingin perubahan segera. Masa dia dalam kerajaan tak ada pula suruh minta perubahan besar. Dalam majlis pimpinan pun tak ada, tetapi bila keluar seolah olah jadi jaguh baru.


"Saya sudah pesan semua pimpinan KEADILAN dan Pakatan Harapan, dan malah pimpinan Kerajaan Perpaduan tahu bahawa perubahan itu mesti bijak, penuh hikmah dan kesabaran," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page