top of page

Lebih 300 warga kota pelbagai kaum meriahkan Pesta Tang Lung Gala 2026

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
56 minutes ago
2 min read
Warga kota memeriahkan Pesta Tang Lung Gala 2026
Warga kota memeriahkan Pesta Tang Lung Gala 2026

Suasana di Gelanggang Futsal Taman Tasik Danau Kota malam tadi bertukar meriah dan berwarna-warni apabila lebih 300 penduduk berbilang kaum dan usia hadir memeriahkan Pesta Tang Lung Gala 2026.


Acara yang berlangsung dari jam 6.30 petang hingga 9.00 malam itu bukan sekadar meraikan salah satu perayaan kebudayaan Cina yang paling signifikan, malah berjaya menjadi medan penyatuan masyarakat majmuk di ibu kota.


Menariknya, rata-rata pengunjung yang hadir tidak melepaskan peluang tampil menawan menggayakan Pakaian Tradisional Cina, sekali gus menterjemahkan semangat keharmonian kaum yang utuh di negara ini.


Membawa tema '919 Menyambut Bulan Purnama', penganjuran bersama oleh kumpulan Happy Tempo Workout dan Jojo Sisters Linedance dengan kerjasama Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Wangsa Maju Subzon 2 yang diketuai Puan Ng Lay Khim ini turut membawa misi murni mengutip derma.


Lebih membanggakan, penganjur mengumumkan bahawa seluruh hasil kutipan majlis berkenaan, selepas ditolak kos perbelanjaan, akan disalurkan seratus peratus kepada badan kebajikan untuk tujuan amal.


Turut hadir memeriahkan majlis ialah bekas Ahli Lembaga Penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Lai Chen Heng yang juga pendukung kuat kelestarian ruang rekreasi taman berkenaan.


"Tahniah kepada penganjur tahun ini, Jane Ngiow. Acara ini amat berjaya dengan kehadiran lebih 300 ibu bapa dan kanak-kanak dari pelbagai latar belakang kaum untuk sama-sama berkongsi keceriaan tradisi ini," ujar beliau.

Andre Lai (tengah) bersama warga kota
Andre Lai (tengah) bersama warga kota

Katanya, beliau amat berterima kasih kepada DBKL kerana menyediakan kemudahan taman tasik yang indah untuk kegunaan warga setempat.


"Sambil saya menggalakkan orang ramai memanfaatkan taman ini, saya juga berharap pihak penganjur acara terus memohon permit rasmi untuk sebarang acara khas. Taman ini milik semua, jadi saya harap kumpulan-kumpulan tarian dapat bertimbang rasa berkongsi penggunaan dataran tasik dengan pengunjung lain, terutamanya pada hujung minggu.


"Tahun lalu saya ada kenangan manis di sini, dan tahun ini saya gembira dapat kembali menyambutnya bersama anda semua," jelasnya.


Sementara itu, wakil penganjur dari Happy Tempo Workout, Jane Ngiow meluahkan rasa gembira atas sambutan luar biasa serta cuaca yang menyebelahi mereka.


Beliau turut merakamkan penghargaan kepada MPP Subzon 2, rakan penganjur Jojo Sisters Linedance dan Lai Chen Heng yang sentiasa menyokong usaha mereka.


"Hati saya sangat gembira melihat kehadiran luar biasa malam ini. Ini adalah sambutan Pesta Tanglung yang sangat bermakna.


"Melihat kanak-kanak pelbagai bangsa ketawa bersama, bermain tanglung dan menikmati kuih bulan bersama rakan serta keluarga menjadikan perjumpaan perayaan yang penting ini jauh lebih istimewa," katanya.


Pelbagai aktiviti menarik disajikan sepanjang malam termasuk sesi menari beramai-ramai, permainan interaktif, dan semestinya perarakan tanglung di bawah sinaran bulan purnama.


Bagi menghargai sokongan pengunjung, pihak penganjur bermurah hati mengedarkan 300 Beg Bertuah percuma kepada peserta yang terawal tiba di lokasi.


Suasana bertambah gamat apabila tiba sesi cabutan bertuah yang menawarkan 20 hadiah menarik buat pengunjung yang bertuah, sebelum tirai acara ditutup dengan penyampaian Anugerah Pakaian Terbaik kepada peserta yang tampil paling menonjol pada malam tersebut.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page