Selangor peruntukan RM20 juta tangani isu hak milik strata tertangguh


Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan RM20 juta bagi tempoh 2025 hingga 2026 untuk menyelesaikan pelbagai isu hak milik strata di negeri ini yang tertangguh sejak sekian lama.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari (gambar) berkata, dana berkenaan disediakan bagi memastikan setiap permasalahan yang dibelenggu pemilik strata dapat ditangani secara lebih berkesan.
Menurut Amirudin, antara cabaran utama yang dikenal pasti merangkumi kelulusan pelan bangunan, urusan dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Pejabat Tanah, status pembayar cukai tanah, serta pengemaskinian maklumat pemilik.
"Masalah berpunca daripada kelemahan pengurusan sebelum ini sehingga memberi ruang kepada pemaju tertentu mengabaikan tanggungjawab.
"Ada sebahagiannya yang cuai, culas, mengambil kesempatan untuk melarikan diri daripada mengambil tanggungjawab dan akhirnya pemilikan strata itu menjadi masalah besar," katanya dipetik laporan media.
Amirudin berkata begitu pada Majlis Penyerahan Inisiatif Pemerkasaan Komuniti Strata Negeri Selangor di Wyndham Acmar di Klang pada Khamis.
Menerusi ucapannya, Amirudin juga berharap kerjasama antara Kerajaan Negeri, agensi berkaitan, pemaju dan komuniti strata dapat menghasilkan penyelesaian lebih berkesan dalam penggal ini.
Pada masa sama, katanya, Skim Ceria yang dilaksanakan sejak 2009 akan terus diperkasakan bagi meningkatkan kualiti perumahan dan kehidupan penduduk strata.
"Kalau kita ada kaedah penyelesaian yang lebih baik, Insya-Allah tahun depan kita sedia menaikkan dana Ceria bagi membantu lebih banyak kawasan perumahan dan sokongan kepada perumahan strata, pangsapuri dan flat yang masih memerlukan sokongan berterusan," tambahnya.




Comments