Exco N Sembilan letak jawatan jika tidak iktiraf Tuanku Muhriz - Anthony Loke


Kesemua ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan digesa meletakkan jawatan sekiranya mereka tidak lagi mengiktiraf Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke membuat gesaan tersebut susulan keputusan sebulat suara oleh semua Exco bahawa proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz pada 19 April adalah sah sekaligus mengiktiraf Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang Dipertuan Besar baharu.
"Sekiranya mereka kini tidak lagi mengiktiraf baginda sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, maka atas prinsip dan maruah, mereka sewajarnya meletakkan jawatan masing-masing," katanya dalam satu kenyataan.
Menerusi kenyataan sama, Ahli Parlimen Seremban itu turut mempersoalkan punca kuasa Exco terbabit untuk mengiktiraf proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz berkuat kuasa serta-merta.
Pengumuman mengenai penurunan takhta itu tegasnya bukan sahaja menimbulkan kekeliruan malah boleh memberi kesan terhadap tatatertib pentadbiran negeri serta kedudukan institusi Yang di-Pertuan Besar.
"Saya ingin mempersoalkan punca kuasa Exco untuk membuat keputusan sedemikian.
"Keputusan Exco tidak boleh dengan sendirinya mengatasi Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 atau ketetapan Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan," katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau menegaskan pendirian DAP mempertahankan prinsip demokrasi berparlimen, Raja Berperlembagaan dan keluhuran undang-undang.
Prinsip berkenaan tegasnya perlu dihormati dan tidak wajar dipermainkan demi kepentingan politik atau peribadi.




Comments