"Bukan urus kedai runcit!" - Aminuddin tegur Kerajaan N Sembilan


Kerajaan Negeri Sembilan digesa supaya mempunyai pendirian jelas dan tidak mudah berubah dalam membuat keputusan, terutama dalam isu membabitkan institusi diraja.
Mantan Menteri Besar, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun (gambar) berkata kepimpinan negeri tidak seharusnya mengambil pendirian berubah-ubah sehingga mengulangi kesilapan sama.
"Kepada pimpinan, jangan ulang. Sekejap lain, sekejap lain. Kita tak boleh lagi tak ada pendirian. Hari ini lain, esok lain, macam apa ni.
"Ini bukan mengurus kedai runcit, ini mengurus negeri. Mesti ada pendirian," katanya menerusi kenyataan ringkas di Threads.
Kerajaan Negeri Sembilan pimpinan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim dilaporkan membuat keputusan kolektif dalam satu mesyuarat bahawa proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz adalah sah pada Selasa.
Susulan itu Setiausaha Kerajaan Negeri diminta melaksana proses pewartaan berkaitan proklamasi mengikut peraturan sedia ada.
Dewan Keadilan dan Undangan (DKU) Negeri Sembilan kemudian tampil menegaskan Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Sementara itu, Aminuddin mengingatkan pemimpin di negeri itu supaya tidak takut kepada tekanan atau pandangan manusia ketika melaksanakan amanah.
"Tidak perlu kena tekan, jangan takut dengan manusia. Takut kejujuran kita dengan Allah SWT," katanya sambil mendoakan supaya Negeri Sembilan terus berada dalam keadaan aman, makmur dan maju.




Comments