Selangor peruntuk RM3.5 juta geran penyelidikan menerusi SELidik


Kerajaan Selangor memperuntukkan RM3.5 juta menerusi Geran Penyelidikan dan Inovasi Pembangunan Negeri Selangor (SELidik) 2026. untuk membiayai penyelidikan berimpak tinggi.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata SELidik diperkenalkan bagi memperkukuh penyelidikan yang dapat menyokong pembentukan dasar serta pelaksanaan program pembangunan negeri sekaligus menyokong agenda pembangunan negeri berteraskan enam tema strategik Rancangan Selangor Kedua (RS-2).
"Ini adalah kali pertama geran penyelidikan Selangor diperkenalkan dan tahun ini peruntukannya RM3.5 juta.
"Daripada jumlah itu, RM2.5 juta disediakan untuk dua universiti di bawah Kerajaan Negeri, iaitu UIS dan UNISEL. Secara purata, setiap universiti menerima kira-kira RM1.25 juta untuk geran penyelidikan masing-masing.
"RM1 juta lagi akan dibuka kepada universiti tempatan di seluruh Selangor. Kita memberi keutamaan kepada universiti tempatan terlebih dahulu dan sekiranya terdapat lebihan peruntukan, kita mungkin mempertimbangkan penyertaan universiti antarabangsa," katanya dipetik laporan media.
Amirudin berkata begitu pada majlis pelancaran SELidik 2026 di Foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di Shah Alam pada Isnin.
Sementara itu Amirudin berkata, setiap penyelidikan yang menerima geran berkenaan perlu memenuhi syarat utama dengan menghubungkannya kepada enam misi yang digariskan dalam RS-2.
RS-2 menggariskan enam misi utama digariskan dibawah dokumen dasar bagi tempoh 2026 hingga 2030 itu merangkumi.
Memacu Kepimpinan Ekonomi Selangor
Pembangunan Seimbang dan Peluang Saksama Merentasi Daerah
Negeri Penyayang dan Berdaya Huni
Modal Insan Produktif dan Inklusif
Negeri Lestari, Berdaya Tahan dan Strategik
Kerajaan Efektif, Mesra Rakyat dan Perniagaan




Comments